Kenanga Research positif terhadap Uzma selepas raih lanjutan kontrak daripada Petronas Carigali | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap Uzma selepas raih lanjutan kontrak daripada Petronas Carigali

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Kenanga Research positif terhadap Uzma Berhad terutama selepas kejayaan meraih kontrak lanjutan selama lima tahun daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. untuk pajakan, operasi dan penyelenggaraan kemudahan suntikan air D18.

 

Firma itu berkata, projek itu juga membantu mereka menjadi lebih menyerlah di dalam portfolio kerjanya.

 

"Kami percaya kontrak lanjutan itu juga mencerminkan kepuasan pelanggan dengan keupayaan pelaksanaan kerja Uzma setakat ini.

 

"Kami menjangkakan kontrak itu akan meningkatkan jumlah kontrak kepada RM2 bilion," katanya dakam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menyatakan bahawa skop kerja kontrak itu adalah meneruskan operasi kemudahan yang berada di lokasi sama sejak Julai 2016, dalam operasi dan penyelenggaraan (O&M) oleh Uzma Engineering.

 

Tempoh kontrak bermula dari tarikh surat sehingga 28 Oktober 2027 dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 sehingga tamat kontrak.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi 64 sen berbanding 58 sen sebelum ini.

 

Firma itu menyukai Uzma kerana menjadi proksi yang baik kepada kenaikan harga minyak memandangkan tumpuannya dalam segmen brownfield seleain penyediaan pelbagai perkhidmatan seperti telaga, peningkatan dan mengoptimumkan pengeluaran minyak serta operasi dan penyelenggaraan.

 

Katanya, kepelbagaiannya dalam perniagaan termasuk perniagaan tenaga solar akan menyumbang secara positif untuk jangka panjang. - DagangNews.com