KUALA LUMPUR 22 Feb - Kenanga Research mengurangkan unjuran untung bersih teras BP Plastics Holding Bhd. bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 8% kepada RM48.5 juta berbanding RM53 juta sebelum ini.
Semakan semula itu disebabkan gangguan rantaian bekalan yang berpunca daripada kos pengangkutan lebih tinggi dan kos bahan mentah yang mahal.
"Selain itu, kami turut menyemak turun dividen sesaham (DPS) bagi FY22 kepada 8 sen daripada 11.25 sen sebelum ini, mencerminkan 5.3% hasil.
"Pada masa sama, kami turut memperkenalkan unjuran untung bersih teras sebanyak RM51.1 juta dan DPS sebanyak 8 sen bagi FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan penarafan saham BP Plastics dengan saranan 'outperform'.
Harga sasarannya disemak lebih rendah kepada RM2.07 daripada RM2.22 berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY22 sebanyak 17.2 sen (selepas pengurangan 8% pendapatan) mencerminkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 12x, yang mana di atas paras min 5 tahun 8.4x.
"Kami percaya BP Plastics layak mendapat penilaian memandangkan permintaan yang berdaya tahan untuk produknya dan pelan pengembangan kapasiti secara berterusan," jelasnya.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersihnya bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 meningkat kepada RM11.91 juta berbanding RM7.22 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM124.85 juta daripada RM84.87 juta tahun lalu.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21), untung bersih meningkat kepada RM46.47 juta daripada RM29.66 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM447.17 juta daripada RM316.6 juta.
Kenanga Research kekal optimis dengan prospek BP Plastics memandangkan ekonomi global kini menuju ke arah pemulihan.
Antara faktor yang mempengaruhi prospek positif ini termasuklah keupayaan kumpulan memenuhi permintaan kukuh bagi produknya dengan kadar penggunaan berlegar pada purata 70 hingga 75% dan juga kenaikan harga jualan purata (ASP) seiring dengan kos resin.
"Harga resin kembali meningkat (kira-kira 8 hingga 10%) sejak awal Januari lalu, dan dijangka kekal tinggi sehingga separuh pertama 2022 disebabkan gangguan rantaian bekalan global akibat masalah logistik dan kos bahan mentah yang tinggi.
"Dengan mengambil kira kenaikan ASP dan kos resin, anggaran margin keuntungan sebelum cukai kami adalah pada 12.3% bagi FY22 dan 11.5% pada FY23, berbanding 12.7% bagi FY21," katanya.
Setakat 9.36 pagi ini, harga saham BP Plastics susut 2 sen atau 1.32% kepada RM1.50 dengan 598,300 saham diniagakan. - DagangNews.com