KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kenanga Research meramalkan prospek yang lebih lemah untuk harga produk Petronas Chemicals Group Bhd kesan daripada kelembapan ekonomi global yang sebahagiannya diimbangi kekangan bekalan.
Katanya, antara produk polietilena, prospek polietilena berketumpatan rendah (LDPE) dilihat paling kukuh dalam jangka masa terdekat, disebabkan aktiviti pemulihan kilang yang tinggi di peringkat global serta kapasiti baharu yang terhad di China.
Sementara itu, prospek polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) dijangka lebih lemah dalam tempoh terdekat berikutan kapasiti baharu yang akan datang di rantau ASEAN dan China.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan harga methanol berada dalam julat antara AS$330 hingga AS$355 bagi setiap tan pada 1HFY24 disebabkan penambahan kapasiti baharu di Asia Tenggara dan Amerika Syarikat (AS)
"Pertumbuhan ekonomi global yang lemah terus membebankan permintaan terhadap metanol. Di China, loji arang batu kepada metanol beroperasi pada kadar penggunaan yang rendah disebabkan kos arang batu yang tinggi, yang memberikan sedikit sokongan kepada harga methanol," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kenanga Research meramalkan harga urea berada dalam julat hampir AS$322 bagi setiap tan dan dari segi penawaran, India dijangka menambah kapasiti pengeluaran urea 1 juta tan, sekali gus mengurangkan keperluan peningkatan dalam import urea.
Katanya, kumpulan itu juga menjangkakan harga ammonia kekal stabil, memandangkan pemulihan permintaan daripada sektor perindustrian masih lemah ditambah pula dengan kos bahan mentah yang mendatar, terutamanya gas asli.
Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana terdapat tanda-tanda penurunan harga poliolefin yang disokong oleh harga minyak mentah, bahagian Kimia khusus yang berpotensi melihat pendapatan melalui pemulihan berperingkat pada FY23 dan FY24 selain margin lebih baik berbanding rakan setaranya disebabkan kos yang menggalakkan.
"Bagaimanapun, peningkatan pendapatannya dihadkan oleh peningkatan harga produknya di tengah-tengah prospek ekonomi global yang lembap terutamanya di China," katanya.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM6.28 sesaham. - DagangNews.com