KUALA LUMPUR 8 Feb - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap LPI Capital Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM14.20 sesaham selepas merekodkan hasil yang memenuhi jangkaan bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021.
Penganalisisnya, Lim Khai Xhiang berpendapat kenaikan dalam tempoh jangka pendek adalah terhad kerana sahamnya kekurangan pemangkin.
Beliau bagaimanapun menyemak semula unjuran untung bersih teras bagi tahun kewangan 2022 (FY22) yang lebih rendah sebanyak 11% setelah mengambil kira pelaksanaan cukai keuntungan sekali atau dikenali sebagai Cukai Makmur.
"Kami turut memulakan anggaran untung bersih teras bagi FY23 sebanyak RM367 juta (peningkatan 16% tahun ke tahun daripada asas FY22 yang rendah), yang mencerminkan pertumbuhan 3% tanpa cukai keuntungan tersebut.
"Namun, kami mengekalkan dividen sesaham (DPS) sebanyak 76 sen dan memperkenalkan DPS bagi FY23 sebanyak 78 sen, dengan hasil masing-masing pada 5.2% dan 5.3%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Untung bersih LPI Capital bagi Q4 susut 23.27% kepada RM73.07 juta
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih LPI Capital bagi suku keempat susut 23.27% kepada RM73.07 juta berbanding RM95.23 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan dalam tempoh berkenaan bagaimanapun, meningkat sedikit kepada RM429.04 juta daripada RM422.38 juta dipacu pertumbuhan premium perolehan kasar menerusi segmen insurans am.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21), untung bersih kumpulan meningkat 2.36% kepada RM344.68 juta daripada RM336.73 juta manakala pendapatan meningkat 5.93% kepada RM1.72 bilion berbanding RM1.62 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Khai Xhiang berkata, premium yang diperoleh bersih (NEP) dijangka menunjukkan trend peningkatan secara berperingkat tahun ini didorong pembukaan semula aktiviti ekonomi.
"Kami juga menjangkakan nisbah tuntutan yang ditanggung akan dinormalisasi sehingga melebihi 40% (berbanding suku keempat sebanyak 37.7%) apabila ekonomi dibuka semula," tambahnya.
Setakat 9.13 pagi ini, harga saham LPI Capital menokok 10 sen atau 0.68% kepada RM14.74 dengan 8,400 saham diniagakan. - DagangNews.com