KUALA LUMPUR 1 Sept - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap Malaysian Resources Corp. Bhd. (MRCB) dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 34 sen daripada 37.5 sen sesaham sebelum ini berikutan untung bersih terasnya pada separuh pertama tersasar daripada jangkaan.
Ini disebabkan kelemahan margin hartanah dan kerugian syarikat bersekutu yang tidak dijangka bagi tempoh berakhir 30 Jun 2022 itu.
Sejajar dengan semakan TP, firma itu mengurangkan unjuran untung bersih syarikat pembangunan hartanah itu sebanyak 44% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) bagi mencerminkan pengurangan margin hartanah.
Menurutnya, sebahagiannya diimbangi oleh anggaran jualan FY22 kami yang disemak semula sebanyak RM500 juta iaitu dua pertiga lebih tinggi daripada sebelumnya.
Jualan pada separuh pertama sebanyak RM250 juta adalah melepasi anggaran Kenanga Research pada RM300 juta untuk tahun kewangan penuh berikutan jualan kukuh daripda projek VIVO 9 Seputeh bernilai RM188 juta yang dilancarkan pada suku kedua 2022.
"Untuk tahun ini, kumpulan akan melancarkan Kwasa Sentral Plot F dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM328 juta dan Bandar Seri Iskandar (GDV RM30 juta). Sementara itu, MRCB menangguhkan pelancaran projek di Australia (GDV RM900 juta) kepada FY23.
"Memandangkan jualan yang lemah dalam tempoh empat tahun lalu, jualannya yang tidak dibilkan telah susut kepada RM707 juta pada akhir suku kedua (berbanding kemuncak RM1.76 bilion pada suku kedua 2019)," katanya dalam nota kajian hari ini.
MRCB kembali pulih pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 dengan keuntungan bersih RM14.1 juta berbanding kerugian bersih RM32.42 juta setahun sebelumnya,didorong normalisasi operasinya, yang membawa kepada peningkatan pendapatan dan pengiktirafan keuntungan daripada kemajuan pembinaan.
Pendapatan bagi tempoh itu meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM700.39 juta daripada RM225.75 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Untuk separuh pertama, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM28.14 juta daripada kerugian bersih RM27.21 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM1.51 bilion daripada RM452.46 juta.
Sebahagian besar hasil kumpulan itu datang daripada bahagian kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar yang mencatatkan hasil sebanyak RM1.15 bilion berbanding RM156.4 juta tahun lepas, terutamanya disebabkan keadaan operasi yang bertambah baik.
Menurut Kenanga Research, MRCB kini sedang membida kesemua tiga pakej utama bagi projek MRT3 yang akan dilancarkan pada awal FY23.
"Kami menjangkakan setakat akhir suku kedua 2022, nilai kontrak pembinaan dalam tangan sebanyak RM5.2 bilion (dengan RM3.8 bilion daripada projek LRT3.
"Anggaran kami ini dicapai selepas menolak projek terbiar iaitu kontrak berkaitan Bukit Jalil bernilai RM11 bilion dan Finas bernilai RM170 juta serta kontrak Kwasa Utama C8 bernilai RM2.9 bilion yang mana MRCB hanya memperoleh bayaran," jelasnya.
Firma itu berkata, walaupun MRCB bersedia untuk mendapat manfaat daripada potensi pelaksanaan projek infrastruktur awam menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, tetapi terdapat ruang untuk menambah baik pelaksanaan projeknya bagi memastikan penyampaian pendapatan.
Setakat 10.02 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 35 sen dengan 795,700 saham diniagakan. - DagangNews.com