KUALA LUMPUR 23 Nov - Kenanga Research menurunkan penarafan Sime Darby Plantation Bhd. kepada 'under perform' daripada 'market perform' dengan harga sasaran lebih rendah pada RM3.65 berbanding RM4.40 sebelum itu.
Ini berikutan prestasi kewangannya bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 tersasar daripada jangkaan, dengan merekodkan keuntungan bersih teras yang mengecewakan sebanyak RM1.52 bilion, merangkumi 60% dan 56% masing-masing bagi unjuran tahun kewangan penuh firma dan konsensus.
Firma itu turut menyemak turun pendapatan sesaham (EPS) teras bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 19% dan 18% setelah mengambil kira kos yang lebih tinggi daripada ouput yang lebih rendah dan kenaikan kos pengeluaran.
"Malah, kumpulan juga memerlukan tempoh sama untuk melaksanakan sepenuhnya semua amalan pengambilan dan pengurusan baharu berikutan isu buruh paksa yang dibangkitkan oleh Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) pada Disember 2020 ditambah dengan saranan yang disyorkan RSPO.
"Secara keseluruhan, kumpulan menjangkakan dapat menyelesaikan masalah buruh yang dihadapinya hanya pada separuh pertama FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.
Untung bersih Sime Darby Plantation susut 35% kepada RM396 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding RM609 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan itu dipengaruhi oleh keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) berulang daripada segmen huluan tetapi sebahagiannya diimbangi keuntungan yang lebih baik daripada segmen hiliran.
Baca : Untung bersih Sime Darby Plantation susut kepada RM396 juta pada suku ketiga
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM5.39 bilion daripada RM5.06 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pula, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM1.93 bilion daripada RM1.79 bilion dengan pendapatan lebih tinggi pada RM15.36 bilion daripada RM13.15 bilion.
Kenanga Research menjangkakan harga minyak sawit mentah akan kekal kukuh antara RM3,500 hingga RM4,000 satu metrik bagi baki tahun ini dan menjelang 2023.
"Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran harga purata minyak sawit mentah sebanyak RM4,000 bagi 2022 dan RM3,500 bagi 2023.
"Namun, kos pengeluaran bagi kumpulan akan meningkatkan daripada di bawah RM2,500 satu tan metrik kepada RM3,000 satu tan metrik," katanya.
Setakat 10.10 pagi, harga saham Sime Darby Plantation susut 5 sen atau 1.15% kepada RM4.28 dengan 237,700 saham diniagakan. -DagangNews.com