Kenanga Research turunkan unjuran untung bersih Hong Leong Industries antara 8% hingga 10% bagi FY24-FY25 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research turunkan unjuran untung bersih Hong Leong Industries antara 8% hingga 10% bagi FY24-FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - Kenanga Research menurunkan unjuran untung bersih Hong Leong Industries Berhad antara 8% hingga 10% bagi FY24 hingga FY25 bagi mencerminkan jumlah jualan motosikal yang lebih lemah.

 

Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan margin keuntungan daripada model premium.

 

Katanya, kumpulan itu akan memberi fokus kepada pada model motosikal premium dengan margin tinggi bagi mengatasi kelemahan pasaran terutama apabila firma kewangan mengetatkan proses pinjaman.

 

"Kami menurunkan jumlah jualan industri kepada 585,000 unit (daripada 670,000 unit) dan jumlah jualan Yamaha kepada 287,000 unit (daripada 330,000 unit).

 

"Bagi Julai 2024 - Jun 2025, kami menjangkakan peningkatan kecil bagi kedua-dua jumlah jualan industri dan jumlah jualan Yamaha masing-masing kepada 600,000 unit dan 290,000 unit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berkongsi bahawa persekitaran perniagaan Yamaha Motor Vietnam yang mencabar berkemungkinan berterusan berikutan pasaran motosikal di sana semakin tepu.

 

Katanya, baru-baru ini mereka memperkenalkan Yamaha Exciter 155 di pasaran Vietnam yang mendapat sambutan yang baik serta akan terus bekerjasama dengan Yamaha Jepun bagi memperkenalkan lebih banyak model baharu bagi mengekalkan daya saing.

 

"Kami menyukai Hong Leong Indutries memandangkan ia adalah proksi kukuh kepada ekonomi gig yang berkembang pesat memandangkan peranan kritikal motosikal dalam melaksanakan penghantaran dalam talian selain kaitannya dengan jenama Yamaha yang kukuh di Malaysia serta kedudukan peneraju pasaran dalam segmen domestik," katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM10.50 berbanding RM11.40 sesaham. - DagangNews.com