Kenanga unjur pendapatan TK21 & TK22 RHB Bank meningkat dipacu prestasi kukuh pinjaman | DagangNews Skip to main content

Kenanga unjur pendapatan TK21 & TK22 RHB Bank meningkat dipacu prestasi kukuh pinjaman

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis -  Kenanga Investment Bank meningkatkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2021 (TK21) dan 2022 (TK22) RHB Bank Bhd masing-masing sebanyak 17% dan 16% dipacu prestasi pinjaman yang lebih kukuh.

 

Dalam nota penyelidikannya Kenanga berkata, RHB Bank berjaya mencatatkan keputusan kewangan yang lebih baik daripada jangkaan untuk 9 bulan pertama tahun kewangan 2021 (TK21) .

 

RHB Bank merekodkan PATAMI sebanyak RM2.15 bilion, melebihi jangkaan yang membentuk 92% daripada jangkaan Kenanga dan 86% konsensus. 

 

"Prestasi positif itu adalah disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman yang lebih baik daripada jangkaan.

 

"Kami mengekalkan panggilan 'Outperform' dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM6.50 sesaham berbanding RM6.10 sebelum ini," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

RHB Bank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM635.59 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2021 berbanding RM622.25 juta setahun lalu berikutan jumlah pendapatan yang lebih tinggi. 

 

Hasilnya turut meningkat kepada RM3.03 bilion daripada RM2.95 juta sebelumnya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan TK21, keuntungan bersih RHB Bank meningkat kepada RM1.99 bilion berbanding RM1.59 bilion manakala perolehan merosot kepada RM8.86 bilion daripada RM9.42 bilion.

 

RHB Bank berkata peningkatan dalam keuntungan bersih disumbangkan oleh pendapatan berasaskan dana bersih lebih tinggi dan kerugian pengubahsuaian bersih lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh elaun lebih tinggi untuk kerugian kredit, perbelanjaan operasi lebih tinggi dan pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih rendah. 

 

Pendapatan berasaskan dana bersih bank itu bertambah kepada RM4.34 bilion didorong oleh pengurusan kos pendanaan proaktif, berkurangan 28.9% tahun ke tahun disokong oleh pertumbuhan akaun simpanan akaun semasa (CASA) sebanyak 4.8%. -DagangNews.com