Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Mei - Umum dikenali ramai sebagai lapangan terbang Subang, Skypark atau Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah ini menyaksikan jumlah trafik penumpangnya berlipat kali ganda sejak dibuka secara rasmi pada 30 Ogos 1965.
Pada tahun 2007, Subang SkyPark Sdn. Bhd.(SSSB) telah ditubuhkan selepas menandatangani perjanjian subpajakan konsesi dengan ‘pemilik’ Skypark, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi membangunkan bersama lapangan terbang tersebut.
Selain merupakan hab kepada beberapa syarikat penerbangan seperti Firely, Berjaya Air dan kargo, Raya Airways, Skypark juga bertindak sebagai nukleus penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang terkemuka di rantau ini.
Soal pemilikan atau pengendaliannya mungkin tidak menjentik minat orang awam untuk cakna kepada sebarang peralihan dalam tampuk organisasinya.
Namun, ini mungkin mendatangkan kekhuatiran dalam kalangan pihak berkepentingan, apabila timbulnya laporan syarikat pembangunan hartanah, WCT Holdings Berhad menerusi unit milik penuhnya, SSSB mahu mengambil alih Skypark dari MAHB.
Satu dokumen mendedahkan WCT, di mana pemegang ekuiti terbesarnya merupakan ‘tauke’ Pavilion Kuala Lumpur, Tan Sri Desmond Lim Siew Choon dilaporkan membuat cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk membeli Skypark pada nilai RM3.7 bilion.
Baca : ‘Tauke’ Pavilion KL dilapor mahu beli lapangan terbang Subang, MAHB dakwa perkara biasa
Di sebalik perancangan yang hebat tersusun untuk membangunkan Skypark - salah satunya sebagai hab penerbangan eksklusif, pihak berkepentingan di lapangan terbang tersebut malah menjangkakan ini akan mendatangkan kerugian kira-kira RM11.9 bilion.
Senada itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM); pakar dalam bidang pengangkutan, Goh Bok Yen; dan kesatuan MAHB melihat langkah itu bertentangan dengan kepentingan awam, sebaliknya mendakwa niat berkenaan ‘berkiblatkan’ keuntungan.
Hakikatnya, mana-mana projek swasta kebanyakannya ‘berpaksikan’ keuntungan, dan sejauh mana kapasiti WCT dapat menjamin pembangunan Skypark yang lebih baik, juga tidak dapat ditentukan buat masa ini.
Sementalah syarikat itu hanya mempunyai pegangan tunai, RM469.5 juta setakat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Sharan Raj mendakwa baik SSSB, WCT mahupun Desmond Lim, tidak mempunyai kapasiti kewangan untuk melaburkan RM3.7 bilion tanpa membuat pinjaman besar daripada pasaran bon dan pinjaman bank.
Pada 7 Mei lalu, WCT menerusi makluman di Bursa malaysia tampil menjelaskan bahawa kumpulan itu tiada niat untuk mengambil alih lapangan terbang tersebut, namun cadangan yang dikemukakan sebaliknya berkaitan rundingan semula konsensi.
Seperti mana ditulis oleh wartawan veteran, Abdul Kadir Jasin di Sinar Harian, “perlu difahami bahawa melalui rundingan semula, terma dan bidang kuasa konsesi boleh dipinda demi kepentingan pemegang konsesi.
“Soalnya, apakah tidak ada syarikat bumiputera atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mampu mengurus Skypark dan melaksanakan projek baharu sama ada secara bersendirian atau usaha sama?” soal beliau.
Sementara itu, bercakap kepada DagangNews.com, Penyelidik dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid menjelaskan Skypark merupakan sebuah aset yang amat strategik, bukan sahaja dari segi lokasi, malah dengan pembinaan yang sudah sedia wujud.
Bagaimanapun, baginya, untuk menyerahkan kepada syarikat swasta yang 'terpilih' dan dalam tempoh yang lama bukanlah perancangan yang cerdik.
“Lapangan terbang Subang masih mempunyai potensi yang amat besar, namun sokongan harus diberikan kepada MAHB untuk menjalankan pelan pembangunan yang terancang, dan pulangan dapat dimaksimumkan kepada rakyat dan negara serta semua pemegang taruh
“Sepertimana saya katakan, tidak perlu diswastakan, tapi beri ruang dan peluang serta sokongan kepada MAHB,” katanya.
Tidak dinafikan banyak projek di negara ini seperti lebuh raya dan pelabuhan yang melibatkan konsesi dengan kerajaan mendatangkan nilai keuntungan yang besar.
Jadi, adakah ini masanya untuk Malaysia meneroka kemungkinan untuk memberi peluang penswastaan lapangan terbang atau langkah berkenaan sebaliknya meletakkan aset utama industri aeroangkasa negara dalam risiko? - DagangNews.com