Kepelbagaian model perniagaan pacu pemulihan pendapatan QL Resources | DagangNews Skip to main content

Kepelbagaian model perniagaan pacu pemulihan pendapatan QL Resources

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - QL Resources Berhad dijangka mengekalkan pemulihan pendapatannya pada masa akan datang selaras dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan langkah kerajaan dalam membendung penularan COVID-19.

 

RHB Research berkata, kumpulan itu juga memiliki kedudukan pasaran yang kukuh selain kepelbagaian model perniagaan yang dilihat akan membantu mereka mengekalkan momentum pendapatan.

 

Katanya, pendapatan stabil itu dijangka berterusan sehingga 2QFY23 didorong oleh harga produk ternakan bersepadu (ILF) kekal tinggi di dalam pasaran utama.

 

"Pendapatan menerusi ILF bagaimanapun kekal berisiko akibat pasaran bagi haiwan ternakan bagi ayam dan itik dilihat tidak stabil.

 

"Bahagian kedai sebaneka dijangka terus berkembang selepas FamilyMart mencatatkan pertambahan kehadiran pelanggan selaras dengan pembukaan semula ekonomi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat hampir dua kali ganda kepada RM82.42 juta untuk 1QFY22 berbanding RM42.19 juta setahun lalu.

 

Keuntungan itu disokong oleh perniagaan penternakan bersepadu dan pembuatan produk marin.

 

Perniagaan rangkaian kedai serbaneka kumpulan juga menyumbang pendapatan yang lebih kukuh, hasil margin yang lebih baik selepas pembukaan 51 kedai baharu.

 

Hasil bagi suku tahun adalah 24% lebih tinggi iaitu RM1.52 bilion berbanding RM1.22 bilion pada 1QFY21.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM5.31 berbanding RM4.92. - DagangNews.com