KUALA LUMPUR 13 Mac - Malaysia perlu membangunkan sistem kewangan yang lebih berperikemanusiaan dan mampan, kata Pengerusi Majlis Kepimpinan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar.
Menurut Azman, keperluan itu adalah mendesak dan ia perlu dibangunkan bertunjangkan sistem berasaskan nilai yang kukuh dan beretika iaitu kewangan Islam.
"Ditunjangi pergerakan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), momentum keseluruhan aliran dan amalan kewangan dan perniagaan masih bertunjangkan pada rangka kerja yang berkisar pada kemampanan dan pemegang taruh, bukannya hanya rangka kerja ekonomi pemegang taruh.
"Dalam konteks inilah detik bersejarah ini amat sesuai untuk kewangan dan ekonomi Islam, dengan keadilan sosial yang ideal dan teras etika sebagai prinsip utama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Pasaran Kewangan Islam Serantau Kedua anjuran Standard Chartered Saadiq Malaysia.
Forum tersebut turut dihadiri lebih seratus peserta daripada industri perkhidmatan kewangan, tempatan dan serantau.
Malaysia menyumbang AS$666 bilion atau 14.8 peratus kepada aset kewangan Islam global yang diunjurkan mencecah AS$6.7 trilion pada 2027.
Jumlah aset global kewangan Islam meningkat secara ketara berbanding anggaran AS$4.5 trilion pada 2022 dengan Malaysia menduduki tempat ketiga selepas Iran (AS$1.5 trilion) dan Arab Saudi (AS$1 trilion).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien berkata, terdapat potensi kukuh untuk pertumbuhan dalam kewangan Islam dan Malaysia sebagai hab kewangan Islam utama dan peneraju antarabangsa.
Beliau berkata, sejajar dengan visi bank itu 'Here For Good', Standard Chartered Saadiq, yang mempunyai sejarah lebih 30 tahun di Malaysia, berhasrat untuk terus menerajui perbankan Islam bagi memberi perkhidmatan kepada pelanggannya.
"Malaysia mempunyai peranan penting dalam memacu kemajuan ke arah kemampanan dan peralihan yang adil," katanya.- DagangNews.com