Keputusan OPEC+ rangsang kenaikan ringgit | DagangNews Skip to main content

Keputusan OPEC+ rangsang kenaikan ringgit

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Ringgit memulakan dagangan lebih tinggi pagi ini pada RM4.0610/0670 berbanding dolar AS didorong peningkatan harga minyak mentah selepas pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) mencapai persetujuan dalam mesyuaratnya pada Khamis. 

 

Mata wang tempatan semalam ditutup pada RM4.0700/0730 berbanding dolar AS.

 

Menurut Bloomberg, harga minyak diniagakan pada paras menghampiri 8 bulan tertinggi selepas OPEC+ mencapai persetujuan untuk mengurangkan pengeluaran secara beransur-ansur mulai tahun hadapan. 

 

Di New York Mercantile Exchange, West Texas Intermediate (WTI) bagi peghantaran Januari naik 0.4% kepada AS$45.80 setong setakat 8.20 pagi waktu Singapura dan sudah meningkat 0.6% minggu ini. 

 

Brent untuk penyelesaian Februari pula naik 1% kepada AS$48.71 setong di ICE Futures Europe Exchange pada Khamis, paras tertinggi sejak 5 Mac. 

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0442 dan RM4.0509 manakala paras rintangan antara RM4.0678 dan RM4.0743.

 

"Dolar AS terus menyusut, jatuh 0.44% kepada 90.714, berlegar pada paras terendah dalam tempoh lebih 2 tahun, apabila terdapat kemajuan dalam rangsangan fiskal dan keyakinan pelabur terhadap vaksin COVID-19," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Harga minyak ditutup tinggi semalam, dengan Brent naik 0.95% kepada AS$48.71 setong manakala West Texas Intermediate meningkat 0.80% kepada AS$45.64 setong selepas OPEC+ memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran sehingga 500,000 setong setiap hari bermula Januari. 

 

"Ini akan mengurangkan pengeluaran sebanyak 7.2 juta tong sehari mulai 2021," katanya. - DagangNews.com.