Keputusan Q3FY22 dalam jangkaan, Mplus Research ulang saranan 'Beli' saham Kim Loong Resources | DagangNews Skip to main content

Keputusan Q3FY22 dalam jangkaan, Mplus Research ulang saranan 'Beli' saham Kim Loong Resources

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Malacca Securities (Mplus Research) tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan Kim Loong Resources Bhd (KLR) selepas syarikat itu melaporkan keputusan kewangan suku ketiga tahun kewangan 2022 (Q3FY22) di dalam jangkaan.

 

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Mplus Research berkata, pihaknya turut mengulangi saranan 'Beli' terhadap saham KLR tetapi dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah sebanyak RM1.94 berbanding RM1.95 sebelum ini.

 

"TP yang lebih rendah dibuat selepas mengambil kira kesan pencairan kecil baru-baru ini daripada pelaksanaan waran syarikat.

 

"Risiko kepada pengesyoran kami termasuk turun naik dalam harga minyak sawit mentah (MSM) yang tertakluk kepada keadaan cuaca, permintaan terutamanya dari China dan India dan bekalan dari Malaysia dan Indonesia. 

 

"Bekalan kacang soya juga boleh menjejaskan harga MSM kerana kedua-dua produk dianggap sebagai pengganti selain isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berhubung penebangan hutan dan berkaitan buruh juga terus melanda keseluruhan sektor perladangan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Untung bersih KLR bagi Q3FY22 meningkat  42.5% YoY kepada RM41.1 juta, dirangsang oleh purata harga jualan MSM dan buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi masing-masing pada RM4,630/MT dan RM814/MT pada suku tersebut berbanding RM2,336/MT dan RM419/MT masing-masing direkodkan dalam 3QFY21. 

 

Hasil bagi suku tersebut meningkat 76.9% YoY kepada RM492.8 juta. 

 

Untuk 9MFY22, keuntungan bersih terkumpul meningkat 24.4% YoY kepada RM105.5 juta. 

 

Sehingga 3QFY22, jumlah kawasan tanaman KLR berjumlah 15,929 hektar.

 

"Perolehan yang dilaporkan telah dianggap dalam jangkaan, menyumbang kepada 79.7% daripada ramalan keuntungan bersih tahun penuh kami sebanyak RM132.5 juta dan 63.2% daripada ramalan konsensus sebanyak RM167.0 juta," kata Mplus Research. -DagangNews.com