Kerajaan akan putuskan subsidi RON95 selepas selesai proses diesel - Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Kerajaan akan putuskan subsidi RON95 selepas selesai proses diesel - Amir Hamzah

Petrol RON95 dijual pada harga subsidi RM2.05 seliter. -Gambar hiasan BH Petrol

KUALA LUMPUR 12 Jun - Kerajaan akan memutuskan mengenai penyasaran subsidi petrol RON95 hanya selepas proses untuk diesel selesai, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Menurut beliau, apabila proses penyasaran subsidi diesel stabil, kerajaan akan lihat apa lagi yang perlu dilakukan.

 

“Buat masa ini, kami memberi tumpuan kepada diesel dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana 2024 di Bank Negara Malaysia seperti dilapor media hari ini.

 

amir
AMIR HAMZAH AZIZAN

 

Amir Hamzah ditanya wartawan mengenai bilakah pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 yang kini menjadi tumpuan selepas kerajaan mula membuat penyasaran subsidi ke atas diesel di Semenanjung Malaysia bermula 10 Jun 2024.

 

Harga runcit diesel ditetapkan mengikut harga pasaran iaitu RM3.35 seliter, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar manakala harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

 

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, tujuan pelaksanaan subsidi diesel bersasar adalah untuk mengurangkan ketirisan yang mana banyak subsidi mengalir keluar ke negara jiran di samping turut dinikmati sektor yang tidak berhak mendapat subsidi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan perkenal mekanisme interim pembayaran semula kepada pemilik kenderaan logistik yang belum terima kad fleet

 

Jelas beliau, penyasaran subsidi menampakkan kejayaan dari segi mengurangkan ketirisan diesel di sempadan negara.

 

Katanya, maklumat awal yang diterima daripada syarikat minyak menyatakan jualan diesel di stesen di sempadan negara telah susut berbanding sebelum penyasaran dilakukan.

 

"Kita nampak inisiatif (subsidi diesel bersasar) berjaya mengurangkan ketirisan," katanya.

 

Dalam pada itu, Amir Hamzah juga menyeru supaya mereka yang layak untuk mendapat bantuan subsidi membuat permohonan.

 

Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung Malaysia yang mempunyai kenderaan layak untuk memohon diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

 

Kerajaan juga mewujudkan program BUDI – Program Bantuan Subsidi Madani sebagai bantuan subsidi bersasar, termasuk BUDI Individu sebanyak RM200 sebulan kepada warga negara Malaysia yang memiliki kenderaan diesel persendirian untuk menampung perbelanjaan bahan api yang meningkat.- DagangNews.com