Kerajaan akan terus beri tumpuan pada B40 - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Kerajaan akan terus beri tumpuan pada B40 - Mustapa

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
 

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada isi rumah daripada kumpulan B40 memandangkan kumpulan ini lebih memerlukan bantuan untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan. 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan menyediakan program peningkatan pendapatan dan keupayaan mendapat pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi dengan membina kapasiti dan keupayaan seperti Program Pemerkasaan Ekonomi Bandar dan Program Peningkatan Pendapatan. 

 

Malah, katanya, akses kepada keperluan asas akan ditambahbaik termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan. Bagi perumahan, sebagai contoh Program Perumahan Rakyat Termiskin, Program Bantuan Rumah dan Projek Perumahan Mampu Milik.

 

"Selain itu, kerajaan juga akan menggalakkan mereka menyertai program keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan untuk menjana pendapatan dengan menceburi bidang perniagaan seperti pembiayaan mikro contohnya Tekun Nasional dan program latihan keusahawanan," katanya bagi menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Tebrau mengenai tindakan kementerian bagi mengurangkan had pendapatan kemiskinan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

 

Menurut beliau, kerajaan akan meningkatkan sistem perlindungan sosial dengan mewujudkan satu rangka kerja sistem perlindungan sosial yang bersepadu dan komprehensif termasuk Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

 

Mustapa berkata, Malaysia menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dalam mengukur kemiskinan yang mana ia merujuk kepada jumlah pendapatan yang diperlukan oleh sebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan minimum makanan dan
bukan makanan untuk hidup sihat dan aktif dalam masyarakat.

 

"Perlu ditekankan juga PGK adalah merujuk kepada pendapatan isi rumah dan bukan pendapatan individu," katanya.

 

Berdasarkan metodologi baharu ini, PGK terkini adalah sebanyak RM2,208 sebulan, berbanding dengan PGK berasaskan metodologi 2005 iaitu RM980 sebulan. 

 

Dengan menggunakan metodologi PGK 2019, kadar kemiskinan mutlak adalah 5.6% pada 2019 menurun daripada 7.6% pada 2016.

 

"Ini menunjukkan bahawa usaha pembasmian kemiskinan oleh semua pihak berjaya mengurangkan kadar kemiskinan. Namun,
masih terdapat golongan miskin dan berpendapatan rendah khususnya dari isi rumah B40 masih perlu dibantu," jelas beliau. 

 

Pada 2019, PGK disemak semula dengan menambah baik elemen makanan dan bukan makanan untuk menggambarkan
peningkatan kualiti dalam kehidupan. 

 

Konsep PGK makanan berubah daripada keperluan ‘minimum’ kalori kepada keperluan ‘optimum minimum’ yang menunjukkan peningkatan kualiti item bakul makanan.

 

Bagi PGK bukan makanan pula, keperluan kumpulan B20 telah bertambah dari 106 kepada 146 item. - DagangNews.com