Kerajaan baharu penting pastikan kesinambungan dasar ekonomi jangka panjang - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kerajaan baharu penting pastikan kesinambungan dasar ekonomi jangka panjang - MIDF Research

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Okt -  Pembentukan kerajaan baharu adalah faktor penting untuk memulihkan keyakinan dan kestabilan dalam politik Malaysia, dan memastikan kesinambungan dasar ekonomi jangka panjang, kata MIDF Research.

 

“Pengumuman itu agak dijangka berikutan gesaan agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen.

 

“Di satu pihak, kita tidak menjangkakan kesan besar terhadap hala tuju dasar sekiranya kerajaan terdahulu dapat memperoleh mandat baharu dan kukuh. Akibatnya, hanya sedikit perubahan pada langkah Bajet 2023 yang dibentangkan Jumaat lalu.


 

midf

 


"Sebaliknya, jika berlaku pertukaran kerajaan, kami berpendapat perubahan akan dibuat kepada rancangan dan peruntukan sebelum bajet dibentangkan semula," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MIDF Research berkata jika perubahan besar-besaran perlu dibuat, kerajaan baharu mungkin sukar untuk mendapatkan kelulusan bajet dalam tahun ini.

 

“Sekiranya ia berpanjangan sehingga awal tahun depan, ini juga boleh menimbulkan sedikit seretan ke bawah pada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama (S1) 2022 kerana perbelanjaan sektor awam mungkin terjejas akibat kelewatan kelulusan bajet.

 

"Kami menjangkakan kerajaan baharu akan terus memberi tumpuan untuk menyediakan sokongan kepada rakyat dan perniagaan tempatan, dan memastikan pertumbuhan mampan di tengah-tengah kebimbangan terhadap kesan negatif kelembapan global," tambahnya. - DagangNews.com