KUALA LUMPUR 14 Feb - Kerajaan dilihat lebih cenderung terhadap konsep rangkaian borong tunggal (SWN) bagi pelaksanaan 5G negara meskipun keputusan tersebut masih belum diputuskan sehingga kini.
Bagaimanapun, penganalisis Kenanga Research, Lim Khai Xhiang menjangkakan kerajaan akan membuat keputusan berhubung perkara berkenaan mungkin sekitar Februari atau Mac ini.
Buat masa ini, katanya, kerajaan masih membuat pertimbangan berhubung pelancaran rangkaian 5G sama ada menerusi SWN, Dwi-Rangkaian Borong (DWN) atau melihat kepada pilihan lain.
"Meskipun Digital Nasional Bhd. (DNB) terus melancarkan SWN 5G, tetapi kerajaan sedang mempertimbangkan pilihan untuk pelancaran rangkaian 5G Malaysia, sama ada untuk menggunakan SWN, DWN atau pilihan lain, termasuk membatalkan rancangan SWN.
"Berdasarkan laporan Reuters sebelum ini dan hasil semakan yang kami jalankan, didapati wujud sekumpulan syarikat telekomunikasi yang tidak dikenali mencadangkan pelaksanaan DWN bersama SWN DNB untuk mengelakkan risiko titik kegagalan tunggal dan untuk menggalakkan beberapa persaingan infrastruktur," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Ralph Marshall mengemukakan jawapan sepanjang 20 muka surat kepada Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming sebagai reaksi kepada kenyataan medianya bertarikh 7 Februari 2022 berhubung pelancaran SWN 5G.
Marshall menjelaskan pelaksanaan 5G tidak boleh diserahkan kepada sektor swasta untuk melaksanakannya sendiri mengikut jadual mereka, dan didorong oleh fokus mereka terhadap keuntungan.
Malah, beliau berkata, tiada keperluan mendesak untuk operator rangkaian mudah alih (MNO) melaksanakan rangkaian 5G kerana mereka akan terus memaksimumkan penggunaan rangkaian 4G yang dimiliki mereka, yang telah memberikan pulangan yang besar sekian lama.
Jelasnya lagi, akan wujud implikasi yang besar sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengadakan DWN dan pembatalan keputusan SWN akan memberi kesan serius kepada kredibiliti Kerajaan dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) terutamanya pelaburan dalam sektor teknologi berimpak tinggi.
DNB juga mengakui bahawa entiti 100% milik kerajaan mungkin kurang cekap dalam jangka masa panjang, justeru mencadangkan, seperti yang diketahui oleh pegawai kanan kerajaan serta pengurusan MNO, bahawa Kerajaan terbuka untuk mengurangkan kepentingannya dalam masa 3 tahun, selepas 5G dilaksanakan, supaya MNO boleh menjadi pemegang saham DNB.
Menurut Khai Xhiang, dengan mengambil kira faktor-faktor tersebut, kerajaan berkemungkinan besar akan memilih model SWN, dengan DNB memiliki SWN untuk 3 hingga 5 tahun pada peringkat awal.
Sehubungan itu, beliau berkata, terdapat 4 faktor utama yang akan memberi risiko penurunan kepada keuntungan MNO dalam tempoh terdekat dan sederhana (3 hingga 5 tahun) ekoran pelaksanaan model SWN.
Katanya, MNO akan mempunyai ruang yang terhad untuk meningkatkan purata hasil setiap pengguna (ARPU) dalam perkhidmatan 5G disebabkan persaingan yang sengit dan ia bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk perkhidmatan mudah alih 5G mampu milik.
"Memandangkan SWN didorong oleh bekalan, kami menjangkakan bahawa pada tahun-tahun awal pelancaran, MNO mungkin perlu membayar yuran borong pendahuluan dan tidak memperoleh banyak keuntungan daripada perkhidmatan 5G.
"Kami juga dapati MNO akan berdepan risiko susut nilai, susut dan pelunasan (D&A) yang lebih pantas (walaupun perbelanjaan D&A yang lebih tinggi) terhadap aset sedia ada, seperti spektrum, sekiranya ia tidak boleh digunakan semula untuk 5G, atau jika hayatnya dipendekkan berdasarkan pendekatan SWN," katanya.
Beliau juga melihat MNO akan terus memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) pada paras semasa kira-kira RM800 juta hingga RM1.2 bilion setahun dalam tempoh 4 hingga 5 tahun akan datang untuk pengembangan dan membangunkan lagi rangkaian 4G serta inisiatif JENDELA untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.
Setelah mengambil kira semua faktor berkenaan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi.
"Risiko peningkatan utama kepada penarafan sektor ini termasuk pemindahan kepentingan pemilikan SWN yang lebih awal daripada jangkaan kepada MNO dan pembatalan SWN, yang kedua-duanya kami berpendapat tidak mungkin berlaku," jelasnya. -DagangNews.com