Kerajaan dijangka raih RM500 juta levi keuntungan sawit 2021 | DagangNews Skip to main content

Kerajaan dijangka raih RM500 juta levi keuntungan sawit 2021

Sawit

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Kerajaan Malaysia dijangka memperoleh RM500 juta daripada kutipan cukai atau levi keuntungan minyak sawit pada tahun 2021.

 

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, jangkaan itu dapat dicapai sekiranya harga minyak sawit mentah (MSM) kekal di atas paras RM3,000 per tan.

 

"Hasil kutipan yang dijangkakan untuk tahun ini adalah sebanyak RM348 juta yang didorong oleh peningkatan ketara harga sawit yang ini mencecah lebih RM3,400 per tan.

 

"Jumlah tersebut bagaimanapun jauh lebih tinggi berbanding kutipan yang diperoleh pada tahun lalu iaitu RM258,000.

 

"Kami berharap dengan pengeluaran dan permintaan selain keadaan cuaca yang baik, tidak mustahil untuk mencapai sekitar RM500 juta pada tahun hadapan sementara negara berdepan dengan cabaran ekonomi," jelas beliau seperti dilapor Berita Harian.

 

Ahmad Jazlan Yaakub
Ahmad Jazlan Yaakub

 

Cukai atau levi berkenaan hanya akan dikenakan kepada penanam sekiranya harga minyak sawit mentah (MSM) melepasi paras nilai ambang yang ditetapkan iaitu RM2,500 bagi Semenanjung Malaysia dan RM3,000 bagi Sabah dan Sarawak.

 

Kutipan cukai berkenaan bagaimanapun tidak akan dilaksanakan sekiranya harga MSM jatuh di bawah paras berkenaan.

 

Cukai yang dikenakan sebanyak 3% per tan itu mula dijalankan pada 1 Januari 2020 di Semenanjung Malaysia, manakala untuk Sabah dan Sarawak pula adalah sebanyak 1.5%.

 

Mengulas berkaitan langkah India dalam mengurangkan duti import sawit daripada 37.5% kepada 27.5% pada Jumaat lalu, Ahmad Jazlan memberitahu, perkara tersebut dijangka akan meningkatkan jumlah eksport MSM tempatan ke negara berkenaan.

 

"Keputusan ini dijangka akan menambahkan jumlah eksport minyak sawit ke India, sekali gus berupaya meningkatkan harga minyak sawit mentah di negara ini.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan dua digit eksport MSM kita ke India pada tahun depan didorong oleh langkah pengurangan duti import ini," katanya.

 

Hari ini, DagangNews.com turut melaporkan isu berkaitan eksport minyak sawit ke India.

 

Baca: Potongan cukai minyak sawit mentah lonjak permintaan import India

 

Perkembangan tersebut dilihat dapat membantu memulihkan semula syer pasaran minyak sawit daripada jumlah import minyak boleh dimakan di India yang menurun kepada 54% pada November 2019 hingga September 2020. - DagangNews.com