Kerajaan diminta kawal selia industri vape, bukan naikkan kadar cukai seperti disaran JTI | DagangNews Skip to main content

Kerajaan diminta kawal selia industri vape, bukan naikkan kadar cukai seperti disaran JTI

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Tiga organisasi industri dan pengguna vape memohon agar kerajaan memperkenalkan peraturan mengawal selia industri vape terutamanya berkenaan penggunaan nikotin dalam cecair vape.

 

Tiga organisasi itu ialah Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) yang diwakili Ketua Penerangannya, Ashraf Rozali; Malaysian Vape Industri Advocacy (MVIA) diwakili Presidennya, Rizani Zakaria, Presiden dan Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) diwakili Timbalan Setiausaha Agung, Syamil Hanafiah.

 

Industri vape tempatan pada masa ini dianggarkan bernilai RM2.27 billion yang membabitkan 3,300 perniagaan dengan lebih daripada 15,000 pekerja dan terdapat lebih daripada 1 juta pengguna vape di Malaysia.

 

Dalam kenyataan bersama, ketiga-tiga organisasi itu berpendapat peraturan perlu diperkenalkan mengambil kira keperluan berikut:

 

  1. Peraturan akan memberikan hala tuju yang jelas untuk industri selari dengan perkembangan di negara lain yang mengawal selia industri ini dan membantu pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dalam industri vape.

 

  1. Malah dengan peraturan dan hala tuju yang jelas, industri vape berpotensi untuk menarik pelaburan domestik serta pelaburan asing memandangkan industri vape tempatan pada masa mempunyai satu ekosistem yang cukup besar dengan pengilang, pengimport, pengedar, penjual serta pengguna.

 

  1. Seterusnya, ia akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya dalam pengilangan peranti dan e-cecair dan juga penjualan dan pengedaran produk di pasaran. Ini akan memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, terutamanya dalam situasi semasa, di mana pandemik COVID-19 nyata menjejaskan banyak sektor dan pekerja.

 

  1. Peraturan juga akan memastikan pengguna menggunakan produk yang dikawal selia dan selamat untuk digunakan. Ia juga akan membantu membendung penyalahgunaan produk terutamanya dalam memastikan tiada penjualan kepada atau penggunaan oleh mereka yang di bawah umur.


 

vape
Dari Kiri: Rizani Zakaria; Ashraf Rozali dan Syamil Hanafiah

 

 

Dalam kenyataan tersebut, mereka menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan Japan Tobacco International (JTI) supaya menaikkan kadar cukai eksais untuk vape kepada kadar sama dengan rokok, yang disifatkan tidak wajar.

 

JTI menganggarkan sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan, kerajaan mampu memperoleh hasil cukai lebih daripada jumlah yang disumbangkan industri rokok.

 

“Kadar cukai eksais yang diperkenalkan Kerajaan awal tahun ini untuk peranti dan cecair vape tanpa nikotin tidak wajar untuk dinaikkan.

 

“Sebaliknya ia perlu diperluaskan untuk merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin kerana majoriti produk dalam pasaran adalah cecair vape yang mengandungi nikotin.

 

“Ini perlu disertakan sama sekali dengan pengenalan peraturan untuk mengawal selia produk termasuk standard kandungan dalam cecair vape,” kata mereka.

 

Menurut mereka, industri rokok sendiri telah membuktikan kenaikkan cukai ke kadar yang tinggi mendorong perokok beralih kepada pasaran rokok seludup. Cadangan syarikat JTI seolah-olah bertentangan dengan bukti yang dikemukakannya selama ini.

 

“Sekiranya kadar cukai yang tinggi dikenakan ke atas produk vape, ia bukan sahaja menghalang usaha perokok berhenti merokok melalui vape, malah ia berkemungkinan mendorong penyeludupan produk vape yang mengelakkan cukai.

 

“Pada masa yang sama, anggaran mereka yang mengulas setiap mililiter cecair vape bersamaan dengan dua puluh batang rokok adalah tidak logik. Kedua-dua produk ini bukannya produk yang sama dan ia tidak boleh disamakan sepertimana yang dicadangkan JTI. Rokok adalah terbukti berbahaya untuk kesihatan manakala produk vape telah terbukti kurang mudarat berbanding merokok dan membantu perokok berhenti merokok,” kata mereka.

 

“Apa yang penting adalah hala tuju industri ini perlu dibincangkan bersama antara pihak Kerajaan, pihak industri dan pihak pengguna.

 

“Kami semua memohon agar Kerajaan akan membuat sesi konsultasi bersama kami sebelum keputusan berkenaan peraturan kawal selia dan percukaian dibuat,” kata ketiga-tiga organisasi tersebut. DagangNews.com