KUALA LUMPUR 25 Sept – Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS), Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM) dan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan telah mengesa kerajaan untuk membuka kembali industri acara perniagaan dengan segera.
Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan, SAMENTA, Datuk William Ng berkata, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyokong seruan ini untuk membuka semula industri acara perniagaan secepat mungkin.
Katanya, walaupun perniagaan runcit, makanan dan minuman, pembuatan, pembinaan dan pelancongan diizinkan beroperasi dengan kapasiti terhad, ramai PKS masih tidak dapat beroperasi kembali.
Menurutnya, penutupan yang berpanjangan telah menyebabkan kebanyakan PKS kehabisan wang tunai, dan ramai memberhentikan pekerja mereka.
Beliau berkata, pembatasan operasi sebelum ini juga menyebabkan ramai pelanggan luar negara memilih untuk menggantikan pembekal Malaysia dengan pembekal dari negara lain.
‘’Sekiranya kita serius untuk membantu PKS kita untuk masuk kembali ke dalam rantaian bekalan antarabangsa dan mendapatkan bahan mentah dan peralatan, kita harus membenarkan pameran perdagangan dan persidangan perniagaan secepat mungkin.
‘’Inilah cara yang paling cepat dan tepat untuk memangkinkan sektor ekonomi kita,’’ kata beliau dalam kenyataan di sini.
Ng berkata, SAMENTA berharap kerajaan dapat mempertimbangkan seruan ini dan membenarkan pembukaan semula industri acara perniagaan seawal minggu depan.
‘’Kita perlu bekerja lebih keras untuk bersaing dengan negara-negara serantau. Berilah kami peralatan dan saluran yang tepat untuk berbuat demikian,’’ ujarnya.
Menurutnya, industri acara perniagaan bukan sahaja penting untuk ribuan PKS di dalam sektor tersebut, tetapi juga kepada semua PKS dan perniagaan lain sebagai pemangkin dan pengganda ekonomi. – DagangNews.com