KUALA LUMPUR 6 Okt - Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyarankan kerajaan memberi moratorium khas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk memastikan proses pemulihan ekonomi yang sekata dapat dicapai, kerajaan harus memastikan "talian hayat" diberi sebanyak mungkin kepada PMKS di seluruh negara untuk mampu bernafas dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar.
"Memandangkan 53% dari 950,000 perusahaan, kecil dan sederhana (PKS) berdaftar di Malaysia adalah perniagaan milik Melayu dan Bumiputera, sekali lagi saya ingin menyaran pihak kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi meringankan beban mereka yang juga terkesan teruk akibat peningkatan kos yang mendadak.
"Situasi ini diburukkan lagi dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman ataupun OPR tiga kali berturut-turut oleh Bank Negara Malaysia pada tahun ini," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam, Muhyiddin telah mengadakan perbincangan meja bulat bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), yang disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob; Presiden DPMM, Abdul Halim Husin dan barisan pimpinan DPMM.
Beliau berkata, perbincangan meja bulat bertumpukan isu dan cabaran dari aspek pemulihan ekonomi negara serta cadangan penyelesaian dari perspektif DPMM.
"Pihak DPMM turut menyuarakan kebimbangan ahli-ahli terutamanya PMKS mengenai masalah aliran tunai.
"Mereka juga menyuarakan kebimbangan ahli-ahli terhadap denda dan penalti pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dikenakan kepada usahawan-usahawan Melayu yang baru pulih disebabkan pandemik dan berharap pihak LHDN dapat memberi budi bicara dalam perkara ini," katanya.
Tambahnya, beliau risau jika tiada langkah drastik yang diambil kerajaan terutamanya dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober 2022, lebih banyak lagi PMKS yang terpaksa gulung tikar.
"Apa yang lebih parah, lebih ramai rakyat Malaysia yang mungkin juga akan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Jangan terhantuk baru tengadah, lakukanlah sesuatu dengan segera," katanya. - DagangNews.com