Kerajaan gabungan beri cabaran besar kepada inisiatif, pembaharuan dasar - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kerajaan gabungan beri cabaran besar kepada inisiatif, pembaharuan dasar - Kenanga Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Nov - Malaysia dijangka menyaksikan pembentukan kerajaan gabungan memandangkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada Sabtu tidak menyelesaikan kebuntuan politik yang membelenggu negara sejak dua setengah tahun lalu, demikian menurut Kenanga Research.

 

PRU15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

 

Daripada 220 kerusi dipertandingkan kali ini, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi. 

 

Namun, firma itu berpandangan pembentukan kerajaan gabungan atau kerajaan minoriti akan memberi cabaran besar terhadap inisiatif atau pembaharuan dasar-dasar baharu untuk diteruskan.

 

Ia menjangkakan pasaran tempatan akan menyaksikan jualan mendadak secara besar-besaran memandangkan proses membuat keputusan akan terus dihalang oleh ideologi yang tidak sehaluan.

 

"Sama ada, pada mulanya, perjanjian boleh dibuat antara dua atau lebih gabungan untuk membentuk kerajaan bersama.

 

"Pada akhir Februari 2020 selepas 'Langkah Sheraton' yang menjatuhkan kerajaan PH, meninggalkan negara tanpa kerajaan yang berfungsi dan tiada Perdana Menteri, mengakibatkan indeks utama FBM KLCI jatuh sebanyak 4.6% daripada 1,537 mata pada pertengahan Februari kepada paras rendah 1,467 mata pada 2 Mac 2020," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Susulan itu, Istana Negara dalam kenyataan semalam, menggesa gabungan parti-parti politik yang dipersetujui supaya mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang ini.

 

BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilihat penentu dalam menentukan sama ada PH atau PN yang memiliki jumlah kerusi cukup untuk membentuk kerajaan akan bermesyuarat hari ini, dijangka memutuskan keputusan dan pendirian rasmi gabungan pilihan mereka.

 

Berdasarkan nama calon Perdana Menteri yang dipersetujui sebelum PRU15, PH sebulat suara menamakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sementara PN mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yasin, yang juga Pengerusi PN.

 

Susulan ketidaktentuan selepas PRU15, Kenanga Research mengurangkan 3% unjuran KLCI akhir tahun ini kepada 1,450 mata daripada 1,500 mata sebelum ini.

 

"Kami terus menyokong pelabur untuk mencari perlindungan dalam sektor yang dipacu dalam negeri termasuk bank, syarikat telekomunikasi, pembuat/pengedar kereta dan peruncit pasaran pertengahan, di tengah-tengah tekanan luar yang semakin meningkat. 

 

"Malah, kami percaya kerajaan yang dibentuk selepas PRU15, akan terus menyokong penggunaan domestik," jelasnya. - DagangNews.com