Kerajaan galak semua pihak beri pandangan bantu pulihkan ekonomi negara - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan galak semua pihak beri pandangan bantu pulihkan ekonomi negara - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa mendengar dan menggalakkan semua pihak untuk memberikan pandangan dalam usaha untuk memulihkan ekonomi serta kehidupan rakyat di negara ini.

 

Beliau berkata, pihaknya mendengar beberapa cadangan bagi membantu memulihkan semula perniagaan yang terjejas akibat krisis kesihatan dan bencana alam daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) serta Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menerusi pertemuan yang diadakan semalam.

 

"Delegasi DPMM diketuai oleh Presidennya, Abdul Halim Husin manakala Datuk Low Kian Chuan mengetuai rombongan ACCCIM.
 

 

"Pertemuan ini diadakan bagi membincangkan hala tuju ekonomi negara yang masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan banjir besar yang menjejaskan ekosistem perniagaan

 

"Bagi saya, pertemuan seperti ini bagus dan patut diadakan lebih kerap kerana saya dapat mendengar sendiri pandangan dan cadangan daripada pemain industri seperti DPMM dan ACCCIM," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 untuk menyusun semula struktur ekonomi serta ke arah mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang 2025. - DagangNews.com