Kerajaan hanya benarkan pekerja asing sektor perladangan dibawa masuk bagi tampung 40,000 tenaga kerja diperlukan - Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Kerajaan hanya benarkan pekerja asing sektor perladangan dibawa masuk bagi tampung 40,000 tenaga kerja diperlukan - Johari Ghani

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

BANGI 23 Jan - Kerajaan memutuskan hanya pekerja asing sektor perladangan dibenarkan masuk ke Malaysia bagi menampung jumlah 40,000 pekerja yang diperlukan dalam sektor tersebut ketika ini, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 

Johari berkata, mana-mana syarikat ladang yang membawa masuk pekerja asing perlu memohon kepada Kementerian Sumber Manusia dan disahkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi memastikan syarikat terbabit mematuhi peraturan ketat seperti menyediakan kemudahan tempat tinggal dan jumlah tenaga buruh diperlukan.

 

"Saya dimaklumkan Kementerian Dalam Negeri mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Sumber Manusia. Kedua-dua kementerian menyatakan bahawa pekerja asing selain perladangan tidak dibenarkan masuk.

 

"Selain itu, setiap syarikat ladang perlu memastikan bahawa kehendak pekerja asing itu hanya spesifik untuk kerja-kerja di ladang, bukannya mohon sektor ladang, tetapi bekerja sektor lain.

 

"Sesiapa yang bawa pekerja asing perlu menyediakan tempat tinggal sempurna dan kita tidak mahu pekerja-pekerja asing ini dianggap duduk dalam keadaan menyebabkan kita boleh dituduh melakukan kegiatan buruh paksa," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di ibu pejabat MPOB di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin; Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zailani Hashim; Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

 

 

JoGhani
Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di ibu pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 23 Januari 2024.

 

 

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, tempoh permohonan bagi membawa masuk pekerja asing dipendekkan daripada 29 bulan dan 13 hari kepada 15 bulan dan 23 hari.

 

Katanya, ia hanya akan berkuat kuasa apabila kuota untuk pengambilan pekerja asing kembali dibuka.

 

Menurut Johari, mana-mana majikan yang membawa masuk pekerja asing ke negara ini perlu membayar gaji pekerja mereka, walaupun tidak diberikan kerja.

 

 

JoGhani

 

 

Katanya, segala langkah kawalan ketat tersebut dilaksanakan bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang bagi mengelakkan negara ini dituduh mengamalkan pemerdagangan manusia dan buruh paksa.

 

"Masa nak mohon nanti, kita akan pastikan ladang di mana, berapa luas ladang. Contohnya kelapa sawit, purata 8 hektar mereka hendak satu pekerja, jika 1,000 hektar maka diperlukan 80 pekerja," katanya.

 

Tambah beliau, mana-mana syarikat dan ejen yang melanggar peraturan bakal dikenakan tindakan sewajarnya, supaya Malaysia tidak dituduh melakukan amalan buruh paksa. - DagangNews.com