Kerajaan kaji sidang Parlimen secara hibrid, kata Takiyuddin | DagangNews Skip to main content

Kerajaan kaji sidang Parlimen secara hibrid, kata Takiyuddin

PUTRAJAYA 4 Jun – Kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pelaksanaan Sidang Dewan Parlimen secara hibrid yang melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah ini diambil bagi memastikan Parlimen akan dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat.

 

taki
         TAKIYUDDIN HASSAN 

 

"Pada hari ini (4 Jun 2021), suatu mesyuarat telah diadakan secara maya antara saya selaku Menteri bertanggungjawab dengan hal ehwal Parlimen dengan kedua-dua Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang Di-Pertua.

 

"Ia adalah bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid yang merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.

 

"Mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen Hibrid ini diadakan yang berasaskan penyertaan Ahli-ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri. - DagangNews.com