Kerajaan laksana pelbagai insiatif tangani inflasi, kurangkan beban Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kerajaan laksana pelbagai insiatif tangani inflasi, kurangkan beban Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR 21 Jan - Kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu inflasi dan kenaikan harga barang keperluan asas bagi meringankan beban ahli Keluarga Malaysia. 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, antara isu yang akan diberi tumpuan adalah berkaitan pergantungan kepada import, kos kepada input pengeluaran makanan, isu buruh asing, skim subsidi, geran dan pinjaman mudah, pengangkutan dan logistik, teknologi pertanian dan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

Di samping itu, katanya, kerajaan akan memperketat penguatkuasaan ke atas perundangan berkaitan seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan peniaga-peniaga sentiasa menjalankan perniagaan secara beretika serta tidak mengambil kesempatan untuk mengambil untung secara berlebihan sehingga mengakibatkan peningkatan harga barangan atau perkhidmatan.
 

"Kerajaan sentiasa memantau harga barangan terutamanya barang makanan dan mengambil langkah bagi mengelakkan kenaikan yang tidak munasabah, sekali gus mengurangkan beban kepada rakyat keseluruhannya.

 

"Ini kerana kerajaan sedar bahawa peningkatan inflasi ini telah memberi kesan kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia, terutama yang berpendapatan rendah," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Baca : Indeks Harga Pengguna Disember 2021 naik 3.2%, Terengganu catat kenaikan tertinggi

 

Kadar inflasi negara mencatat peningkatan 3.2% pada Disember 2021, disebabkan terutamanya peningkatan indeks harga bagi komponen pengangkutan yang mencatat 9.5% dan komponen makanan dan minuman bukan alkohol dan yang mencatat 3.2%. 

 

Bagi 2021, kadar inflasi tahunan ialah 2.5% berbanding -1.2% pada 2020.

 

Antara inisiatif yang dilaksanakan kerajaan termasuklah, peruntukan sebanyak RM31 bilion dalam 
bentuk subsidi, bantuan dan insentif di bawah Bajet 2022 merangkumi pemberian subsidi petrol RON95 dan diesel, serta minyak masak dan tepung. 

 

Di samping itu, RM200 juta diperuntukkan untuk membantu mengurangkan harga barang keperluan penduduk luar bandar.

 

Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM400 juta untuk menstabilkan harga minyak masak bagi tahun ini di samping memanjangkan program mekanisme kawalan harga minyak masak sehingga Mac 2022 dengan kos 
sebanyak RM150 juta.

 

Pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memantau harga barangan, antaranya menggerakkan kira-kira 1,000 Pegawai Pemantau Harga (PPH) secara harian untuk memantau harga 480 item di 1,500 premis seluruh negara.

 

Malah, kerajaan turut memulakan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berkuatkuasa 1 Januari sehingga 4 Februari 2022 melibatkan 12 jenis barangan makanan keperluan asas dan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sebanyak RM100 juta di 222 kawasan Parlimen sehingga Mac 2022.

 

Mustapa berkata, peningkatan kadar inflasi bukan sahaja berlaku di Malaysia, namun ia merupakan fenomena global yang turut dialami kebanyakan negara lain di seluruh dunia.

 

Katanya, ini disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan dan kos tenaga yang meningkat mendadak berbanding 2020.

 

"Kadar inflasi di Amerika Syarikat contohnya, meningkat kepada 7% pada Disember 2021, tertinggi dalam 39 tahun sejak Jun 1982 manakala bagi Zon Euro pula, kadar inflasi meningkat untuk bulan keenam berturut-turut kepada rekod tertinggi sebanyak 5% pada bulan tersebut.

 
"Inflasi di Republik Korea turut meningkat 3.7% pada Disember 2021, dan merupakan bulan kesembilan berturut-turut. 

 

"Dalam kalangan negara ASEAN pula, Filipina mencatat kadar inflasi sebanyak 3.6% pada Disember 2021 dan Singapura mencatat kadar inflasi sebanyak 3.8% pada November 2021," jelas beliau. - DagangNews.com