Kerajaan luluskan PIRECFS sebagai panduan perancangan, pembangunan hutan seluruh Semenanjung Malaysia - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan luluskan PIRECFS sebagai panduan perancangan, pembangunan hutan seluruh Semenanjung Malaysia - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-40, hari ini.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - Kerajaan meluluskan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) bagi dijadikan panduan perancangan serta pembangunan fizikal dan hutan bagi seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PIRECFS ini merupakan satu inisiatif untuk menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara yang melibatkan lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

 

Beliau berkata, ia bagi memelihara kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia agar wujud rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS, selaras dengan visi ‘reconnecting the forest’.

 

Katanya, pelan induk itu juga telah mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan ekoran berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan (forest fragmentation).

 

"Ia bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan memastikan laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan.

 

"Melalui pelaksanaan pelan induk ini, komitmen negara untuk mengekalkan 50% kawasan litupan hutan seperti yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 dapat direalisasikan. 

 

pm

 

"Perkara itu boleh dicapai melalui komitmen bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajan negeri," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-40, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, kerajan juga mengambil maklum mengenai Pelaporan Status Tanah Lapang Awam (TLA) di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Tahun 2020 yang telah disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia.

 

Beliau berkata, kerajaan menetapkan sasaran sebanyak dua hektar tanah lapang untuk 1,000 penduduk bandar dan jumlah keseluruhan tanah lapang awam di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan ialah 23,433 hektar. 

 

"Bagaimanapun hanya 33% atau 7,662.6 hektar daripadanya telah diwartakan, 24% (5,738.4 hektar) dalam proses pewartaan manakala selebihnya belum diwartakan," katanya.

 

pm

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu juga meminta kerajaan negeri untuk mempercepatkan proses mewartakan kawasan tanah lapang awam di seluruh negara.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri melalui agensi-agensi yang bertanggungjawab diseru untuk mengambil langkah lebih serius dalam menyegerakan pewartaan TLA di bawah Seksyen 62,  Kanun Tanah Negara (KTN). 

 

Pewartaan TLA itu akan memastikan ianya kekal terpelihara dan kekal berfungsi sebagai kawasan lapang yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat untuk tujuan rekreasi dan riadah ke arah Malaysia yang lebih berdaya huni. - DagangNews.com