Kerajaan negeri Sarawak bakal menjadi pemegang saham terbesar Affin Bank – Premier Sarawak | DagangNews Skip to main content

Kerajaan negeri Sarawak bakal menjadi pemegang saham terbesar Affin Bank – Premier Sarawak

Tan Sri Abang Johari Openg bercakap kepada media selepas berucap di Majlis Konvokesyen Ke-8 Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs) yang diadakan di Centexs Santubong hari ini. [Foto Unit Komunikasi Awam Sarawak]

KUCHING 5 Feb - Kerajaan negeri Sarawak bakal menjadi pemegang saham terbesar Affin Bank Bhd, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

 

Beliau berkata rundingan berhubung penambahan kepentingan dalam kumpulan perbankan itu dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kini dalam peringkat akhir dan akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan.

 

Affin merupakan adalah bank dimiliki oleh LTAT yang menguasai 33.2% pegangan sebelum melepaskan 4.95% sahamnya pada harga RM221.74 juta kepada kerajaan Sarawak pada April tahun lalu.

 

“Mari kita berdoa agar dalam tempoh sebulan atau dua, kita akan mengambil alih sebuah bank di mana majoriti blok akan dimiliki rakyat Sarawak

 

ARTIKEL BERKAITAN: Benar-benar menjadikah kerajaan negeri Sarawak beli Affin Bank?

 

“Kemudian, kita akan mempunyai bank sendiri untuk meningkatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk penggiat industri fesyen yang perlu melakukan perniagaan dalam talian.

 

“Jika anda boleh menghasilkan produk berkualiti seperti Datuk Jimmy Choo (pereka fesyen), anda perlu menjualnya menerusi aplikasi sendiri yang berfungsi sebagai galeri pasar raya dalam talian,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-8 Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs) yang diadakan di Centexs Santubong di sini hari ini.

 

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, beliau menjelaskan bahawa perbincangan mengenai saham tersebut adalah muktamad.

 

ARTIKEL BERKAITAN:  Urus niaga tambah saham dalam Affin Bank bakal diumum dalam masa terdekat - Premier Sarawak

 

“Ia hanya soal formaliti daripada Bank Negara Malaysia (BNM). Kami akan menjadi pemegang saham terbesar,” katanya.

 

Ketika ditanya mengenai saham tersebut, Abang Johari menjelaskan ia melibatkan jumlah maksimum yang dibenarkan oleh BNM- DagangNews.com