Kerajaan nilai pengukuhan bantuan tunai pasca Bajet 2021, kata Menteri Kewangan | DagangNews Skip to main content

Kerajaan nilai pengukuhan bantuan tunai pasca Bajet 2021, kata Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kerajaan akan mempertimbangkan bantuan tunai langsung yang lebih mengukuh kepada rakyat di negara ini, terutamanya selepas pembentangan Bajet 2021. 

Bercakap ketika Persidangan Ekonomi Malaysia 2020, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melihat pelbagai aspek perlu diambil kira, ini termasuk perbezaan gaji sedia ada di Malaysia. 

Jelasnya, kerajaan sedang berunding dengan pihak berkepentingan termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung penambahbaikan program subsidi upah. 

“Sebagai contoh, Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) adalah untuk Perkeso dan dalam masa sama, Program Subsidi Upah (Subsidi Upah 2.0) adalah dari kerajaan dan ia berdasarkan pendekatan bersasar mengikut sektor tertentu,” katanya pada persidangan itu hari ini.

 

Malaysia summit

 

Beliau menjawab soalan sekiranya kerajaan akan mempertimbangkan langkah untuk memperkukuh program respons krisis secara langsung, terutamanya melibatkan pemberian Penjana, gaji dan skim pembayaran ke dalam penstabil automatik. 

Menurut laporan Bernama, pengukuhan program itu dijangka mengurangkan masa antara kehilangan pendapatan dan keyakinan dalam kalangan rakyat. 

Dalam masa sama, ia mampu menyelaraskan pentadbiran di seluruh jaringan keselamatan sosial.

Sebelum ini, kerajaan telah melanjutkan Program Subsidi Upah 2.0 bagi tempoh tiga bulan sehingga Disember 2020.

Lanjutan program itu tergolong dalam Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin) dengan peruntukan RM2.4 bilion yang bakal memanfaatkan 1.3 juta pekerja. - DagangNews.com