Kerajaan Pahang, Teroka Majubina meterai MoU bangunkan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Pekan | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Pahang, Teroka Majubina meterai MoU bangunkan Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Pekan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Syarikat Teroka Majubina Sdn Bhd dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan sebuah Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Tanjung Agas, Pekan, Pahang.

 

Menerusi MoU itu, Teroka MajuBina Shipyard Complex dijadual beroperasi mulai 2025, merangkumi kawasan seluas 404.6 hektar di Tanjung Agas, Pekan yang menempatkan enam 'dry docks' yang panjangnya 500 meter, dikelilingi oleh 12 quays. 

 

Pengerusi Teroka Majubina, Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata, pembinaan dan penyelenggaraan kapal, green ship recycling, offshore marine engineering dan decommission merupakan antara fungsi utama di kompleks limbungan hibrid itu.

 

"Pelaburan dari luar negara dan juga dalam negeri akan menjadi asas kepada projek ini. Kemudahan ini akan menjadi limbungan yang pertama di dunia yang bakal menggunakan 100% tenaga hijau atau sumber yang boleh diperbaharui. 

 

"Malah, kemudahan ini akan menjadi fasiliti terbesar kitar semula hijau di Asia Tenggara. Sebuah stesen janakuasa biomass 200MW yang menggunakan tandan kosong kelapa sawit akan dibina di dalam kompleks limbungan hibrid ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin, manakala Teroka Majubina pula diwakili oleh Mohd Isa sambil disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail.

 

Menurut Mohd Isa, pembinaan projek ini akan bermula pada Mac 2024 dan akan beroperasi pada bulan Jun 2025. 

 

 

teroka

 

 

"Projek ini sangat tepat pada masanya kerana Hong Kong Convention 2009 akan dikuat kuasakan pada Jun 2025, yang mana mengikut konvensyen ini, kapal atau struktur pelantar minyak/gas tidak boleh dihantar dari negara A ke negara B tanpa kepentingan yang munasabah. 

 

"Oleh itu, projek ini akan membantu kapal dan pelantar minyak/gas milik Malaysia dapat dikitar semula secara selamat mengikut tatacara International Maritime Organisation (IMO). Pada masa sama, European Union Regulations No 1257/2013 akan diperoleh oleh shipyard ini melalui konsultan-konsultan dari Eropah," katanya.

 

Katanya, Selat Melaka dilalui lebih 90,000 buah kapal setiap tahun dan kedudukan Laut China Selatan yang strategik akan menjadi kelebihan kepada projek ini untuk berjaya.  

 

"Projek ini akan menjadi satu kemegahan kepada Malaysia dalam pelbagai sudut. Sebanyak 15,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan secara langsung dan 10,000 lagi pekerjaan secara tidak langsung. 

 

"Sebuah universiti maritim antarabangsa akan diwujudkan di Kuantan dengan tempatan dan luar negara akan menuntut di kampus utama di Kuantan dan menjalani latihan amali di kompleks ini. Universiti ini akan menjadi pusat pengajian tinggi yang pertama di Malaysia bagi sektor maritim," katanya. - DagangNews.com