KUALA LUMPUR 21 Sept - Kerajaan akan memastikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) akan menjadi sebahagian daripada belanjawan tahunan sejak ia dimulakan dalam Bajet 2021.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz turut memberi jaminan agenda SDG akan terus menjadi tumpuan pada Bajet 2023 yang akan dibentangkan Oktober ini.
Katanya, kerajaan mengambil langkah dengan meningkatkan ketelusan belanjawan dan penglibatan awam termasuk mengeluarkan penyata Pra-Belanjawan dan Kertas Perundingan Awam berdasarkan bidang keutamaan kerajaan pada tahun tersebut.
"Antara enam Kertas Perundingan Awam yang dikeluarkan untuk Bajet 2023, tiga daripadanya adalah berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Di Kementerian Kewangan, kami mengenalpasti kewangan hijau boleh menjadi pemangkin untuk memajukan pembangunan hijau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau di Asia, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin; Pengerusi Cagamas Bhd., Datuk Bakarudin Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong.
Menurut Tengku Zafrul, Malaysia telah memulakan perjalanan ke arah kemampanan lebih sedekad lalu dengan usaha ke arah ESG dan juga aktiviti berkaitan kemampanan, bermula dengan pelancaran Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) pada 2010.
Katanya, sebagai peneraju kemampanan, Malaysia juga telah menerima pakai Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.
"Antara keutamaan yang digariskan termasuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) kepada 45% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 dan menyediakan panduan jangka panjang untuk memajukan pertumbuhan hijau dalam melaksanakan agenda pembangunan bersih, hijau dan berdaya tahan melalui pendekatan di seluruh negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Cagamas dan semua pemain industri dapat memainkan peranan penting dalam ekosistem kewangan dan pelaburan supaya menjadi pemangkin untuk menyokong bukan sahaja pertumbuhan perumahan hijau, tetapi juga agenda keterangkuman di Malaysia. - DagangNews.com