Kerajaan perkenal PUPUK galakkan urusan transaksi tanpa tunai - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan perkenal PUPUK galakkan urusan transaksi tanpa tunai - PM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Bagi menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai, kerajaan telah membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK.

 

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM200 juta buat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk PKS.

 

Di bawah program tersebut, kerajaan akan menumpukan kepada empat usaha termasuk pertama, meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan GoeCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300 ribu peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai.

 

Kedua, menambah peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga RM5 ribu untuk pembelian sistem atau langganan platform digital. 

 

Ketiga, menggalakkan penyertaan PKS mikro menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 

 

“Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi digital.

 

“Keempat, memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian. 

 

“Program ini yang akan dilaksanakan 15 melalui kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu,” jelas Muhyiddin ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), hari ini. - DagangNews.com