Kerajaan perkenal tujuh kategori baharu Anugerah Perdana Belia Negara - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Kerajaan perkenal tujuh kategori baharu Anugerah Perdana Belia Negara - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 15 Mei - Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan tujuh kategori baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara pada tahun ini.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif itu dilaksana dengan tujuan menyuntik semangat golongan belia untuk terus menyumbang bakti kepada pembangunan negara.

 

Beliau berkata tujuh anugerah baharu yang diperkenalkan termasuk Ikon Belia Karismatik, Ikon belia Kelestarian Alam, Ikon Belia Reka Tekno dan  Ikon Belia Influencer (Media Sosial).

 

"Turut diperkenalkan Ikon Belia Sanjungan Budi, Ikon Youth-Biz serta Ikon Belia OKU," katanya.dalam perutusan sempena Hari Belia Negara (HBN) 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ yang disiarkan di TV1 hari ini, Bernama melaporkan.

 

Beliau juga mengumumkan Anugerah Perdana Belia Negara akan dilaksanakan dalam majlis khusus bermula tahun ini.

 

"Saya juga berbesar hati mengumumkan bermula pada tahun ini, ia  akan dilaksanakan dalam majlis khusus yang penuh gemilang dan penggunaan logo tetap
sambutan HBN, sebagai komitmen kerajaan mengiktiraf pelaksanaan program yang meraikan golongan belia negara," katanya. - DagangNews.com