Kerajaan Perpaduan siap siaga tambah baik hal ehwal Islam bagi beri manfaat kepada semua – PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Perpaduan siap siaga tambah baik hal ehwal Islam bagi beri manfaat kepada semua – PM Anwar

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk berangkat pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-70 yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kerajaan Perpaduan akan terus bersiap siaga menambah baik hal ehwal agama Islam di negara ini, agar inklusif bukan sahaja kepada umatnya malah memberi kebaikan kepada masyarakat bukan Islam.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjunjung kasih ke atas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70.

 

Beliau berkata, mesyuarat MKI menzahirkan keprihatinan tuanku terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

 

“Patik dan seluruh jentera Kerajaan Perpaduan khususnya agensi Islam menjunjung duli dan beriltizam untuk memastikan tadbir urus hal ehwal Islam dilaksanakan dengan sebaik-baiknya seperti mana yang dihasratkan oleh Majlis Raja-Raja.

 

PM
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bersalaman bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-70, hari ini.

 

“Patik meyakini dengan perkenan dan restu Duli-Duli Tuanku jua, usaha memperkukuhkan institusi pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.

 

“Sekalung penghargaan juga kepada ahli MKI dan wakil negeri-negeri yang hadir dan turut serta mesyuarat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

 

pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-70 yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

 

Mesyuarat MKI ke-70 telah diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. - DagangNews.com