Kerajaan pimpinan Ismail Sabri berjaya kekal kestabilan makroekonomi untuk capai hasil ekonomi – Ketua Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kerajaan pimpinan Ismail Sabri berjaya kekal kestabilan makroekonomi untuk capai hasil ekonomi – Ketua Pakar Ekonomi

Semua orang tahu bahawa BN yang dipimpin oleh UMNO telah mentadbir Malaysia dengan KDNK sentiasa berkembang, kata Ketua Pakar Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 7 Nov – Kerajaan semasa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya mengekalkan kestabilan makroekonomi, justeru membawa negara ke landasan yang betul bagi mencapai hasil ekonomi, menurut Ketua Pakar Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed.

 

Dengan mengekalkan kestabilan makroekonomi, Shan berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencapai AS$370 bilion menjelang Disember 2022.

 

Beliau berkata, ia jelas menunjukkan bahawa inisiatif yang diambil oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri telah menghasilkan kesan positif dengan peningkatan tahap pendapatan negara.

 

“Masalah struktur dan taktikal adalah perkara biasa dalam setiap perkara ekonomi.  Semua kerajaan perlu berurusan dengan perkara ini yang tidak baru.

 

“Belanjawan dan peruntukan adalah dibentangkan mengikut keperluan pihak berkepentingan dan pandangan ekonomi. Ini disukai penganalisis dan pelabur, bukan janji kosong,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.


 

Shan Saeed
                                                   Shan Saeed

 


Sebelum ini terdapat pelbagai pihak yang cuba mempertikai pencapaian Ismail Sabri ketika menyandang jawatan PM selama lebih setahun.

 

Berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu, beliau kini perdana menteri sementara (caretaker Prime Minister).

 

Shan berkata, “Kami di IQI Global menjangkakan ekonomi Malaysia akan  berkembang antara 6.5 dan 7% pada 2022.”

 

Katanya, ini berdasarkan premis bahawa kestabilan makroekonomi, permintaan dalam negeri dan angka perdagangan yang baik sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

 

“Ini membuktikan bahawa ekonomi telah diurus dengan baik seterusnya dapat memperbaiki kedudukan ekonomi negara dan memastikan tenaga buruh bermotivasi untuk meningkatkan kemahiran mereka untuk tahap pendapatan yang lebih tinggi,” kata Shan.

 

Katanya, dengan kerajaan yang stabil, kecekalan dalam merangka dasar kerja dan sentimen positif di lapangan memberi kelebihan yang besar kepada kerajaan untuk menjalankan perniagaan seperti biasa.

 

“Kita menjangkan Malaysia akan terus kekal dalam radar pelabur global kerana geografi strategiknya, tenaga buruh yang produktif dan infrastruktur yang stabil diikuti kesinambungan pentadbiran yang stabil.

 

Menyentuh tentang projek untuk rakyat, Shan berkata: “Apa yang saya ingat terdapat beberapa projek rakyat yang dilaksanakan  Ismail Sabri semasa pentadbirannya.”

 

PM ketika itu dilaporkan meneruskan projek utama di pantai timur bagi memastikan kawasan itu tidak ketinggalan dalam aspek pembangunan.

 

Ia termasuk projek itu membabitkan pembinaan Jambatan Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Takbai (Kelantan), Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3, Terengganu) dan projek pelebaran Lebuh Raya Kuantan Segamat, Fasa 2 (Pahang).

 

Antara lain, beliau juga meneruskan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka akan mengubah landskap dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membawa perbagai limpahan dan manfaat kepada negara dan rakyat.

 

Shan berkata semua orang tahu bahawa BN yang dipimpin oleh UMNO telah mentadbir Malaysia dengan KDNK sentiasa berkembang.

 

“Yang paling nyata, saya memerhati kejayaan yang telah dicapai Ismail Sabri semasa pentadbirannya ialah: Berjaya memberikan vaksin kepada orang ramai sehingga 98%.

 

“Selain mengekalkan kestabilan makroekonomi dengan pertumbuhan KDNK yang kukuh, Malaysia juga berjaya meningkatkan jumlah perdagangan melepasi RM 1.5 trilion,” ujar Shan. – DagangNews.com