SHAH ALAM 14 Feb - Kerajaan dapat menyediakan input terbaik dalam meletakkan hala tuju negara pada masa akan datang menerusi data yang dikumpul melalui Banci Penduduk dan Perumahan 2020.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, banci akan digunakan sebagai input berasaskan evidence-based decision-making dalam penentuan geran per kapita, penggubalan dasar utama, penanda aras dalam pengukuran Sustainable Development Goals (SDGs) 2030.
Jelasnya, ia juga menjadi penanda aras terkini bagi indikator berasaskan penduduk dan penilaian pencapaian serta penghasilan small area statistics, menjurus kepada keperluan pengukuran pencapaian Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) seterusnya meningkatkan taraf hidup yang wajar kepada Keluarga Malaysia bertepatan dengan prinsip SDG 2030 iaitu ‘Leave No One Behind’.
"Statistik Banci Penduduk dan Perumahan dapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia termasuklah saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan.
"Bertitik-tolak daripada maklumat yang diperoleh inilah kerajaan akan dapat menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan bernilai berbilion ringgit Malaysia dapat dibelanjakan di seluruh negara.
"Di sinilah bagaimana kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat yang layak dan memerlukan seperti menangani jurang pendapatan dan kekayaan rakyat yang semakin melebar, membasmi kemiskinan dan mengurus kumpulan isi rumah berpendapatan B40, termasuk golongan mudah terjejas (rentan ekonomi) dan terpinggir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di Management and Science University (MSU) di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Menurut Ismail Sabri, keperluan data di era penguasaan maklumat sekarang menjadi lebih kritikal terutama dalam mengarus perdana pembangunan mampan di dalam negara mahupun untuk meningkatkan kekuatan daya saing di peringkat antarabangsa.
"Justeru, dapatan Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 ini merupakan wadah terbaik bagi perkara ini direalisasikan. Bagi tujuan tersebut, sudah pastilah keperluan mengeluarkan pelbagai data dan indikator di peringkat terperinci dan mikro amat signifikan.
"Maklumat bukan lagi diperlukan di peringkat negeri mahupun daerah malah di peringkat mukim, lokaliti seperti taman mahupun kampung. Perkara ini amat diperlukan supaya kerajaan dapat menggubal polisi bersasar dan pengagihan kesejahteraan kepada rakyat secara saksama," katanya.
Perdana Menteri berkata, Jabatan Perangkaan juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pengiraan kumpulan isi rumah berpendapatan mengikut kategori B40, M40 dan T20.
Beliau berkata, kumpulan sasar seperti warga emas dan golongan kelainan upaya turut tidak akan terkecuali menikmati limpahan kesejahteraan ini.
"Penghasilan profil yang terperinci akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam.
"Ia juga akan digunakan untuk pengiraan pendapatan per kapita, penggubalan dasar-dasar warga emas dan perancangan sosial.
"Di samping menentukan dasar dan polisi yang terbaik, maklumat yang dikumpulkan melalui banci ini akan digunakan untuk menilai pencapaian negara pada masa kini," katanya.
Katanya, sebagai negara upper middle income dengan jumlah komposisi generasi muda dan para pelajar yang besar dalam masyarakat, kerajaan akan turut memfokuskan kepada penyediaan generasi muda yang dapat mengharungi cabaran IR4.0.
Ini termasuk dengan memperkasa kurikulum pendidikan sekolah dan universiti dengan memperkukuhkan sistem pendidikan yang holistik, serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran penilaian analitik berdasarkan data dan sains.
"Di samping itu, pewujudan dan peluang pekerjaan sememangnya menjadi antara agenda penting negara dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya. - DagangNews.com