Kerajaan sementara Ismail Sabri masih berfungsi urus negara, sehingga kerajaan baharu angkat sumpah | DagangNews Skip to main content

Kerajaan sementara Ismail Sabri masih berfungsi urus negara, sehingga kerajaan baharu angkat sumpah

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Nov - Kerajaan sementara pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri masih berfungsi, sehingga kerajaan baharu mengangkat sumpah bagi memastikan hal ehwal genting negara berjalan lancar, termasuk menguruskan bencana banjir.

 

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM, Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, kerajaan sementara perlu terus berfungsi untuk tempoh masa sekarang seandainya dua gabungan utama, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) gagal meraih sokongan untuk mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

 

Menurut beliau, walaupun rundingan pelbagai parti giat berlangsung sekarang, ada kemungkinan ia juga akan mengambil sedikit masa, justeru negara memerlukan kerajaan sementara bagi memastikan pentadbiran negara diteruskan.

 

Beliau berkata, negara kini berdepan dengan bencana banjir dan walaupun sistem sudah disediakan, mahu tidak mahu nanti memerlukan juga kuasa eksekutif untuk membuat keputusan lebih besar seandainya banjir buruk terjadi.

 

"Berdasarkan Perlembagaan, sehingga kerajaan baharu mengangkat sumpah, Datuk Seri Ismail Sabri masih perdana menteri dalam kerajaan sementara atau caretaker untuk membuat keputusan sedemikian," katanya kepada DagangNews.com di sini hari ini.

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria
               Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 

 

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, memaklumkan bahawa kedua-dua gabungan politik itu diminta memberikan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 negara ke Istana Negara sebelum 2 petang hari ini (21 Nov).

 

Ini selepas Istana Negara menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum (PRU15) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menunjukkan tiada parti politik atau gabungan berjaya memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan seterusnya. .

 

Dalam perkembangan semasa, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang berunding dengan Majlis Tertinggi parti sama ada akan menyertai Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Difahamkan, hasrat beliau itu ditentang oleh separuh daripada pemimpin kanan parti.

 

Menurutnya, mana-mana gabungan yang menyatakan BN telah bersama mereka bagi menubuhkan kerajaan adalah tidak benar.

 

Beliau juga menegaskan mana-mana Ahli Parlimen BN yang menandatangani apa-apa dokumen termasuk Akuan Bersumpah (SD) yang menyokong pencalonan mana-mana individu sebagai Perdana Menteri adalah tidak sah dan melanggar peraturan parti.

 

“Setakat ini, BN tidak mengikuti mana-mana gabungan termasuk Perikatan Nasional (PN) kerana tiada rundingan yang dibuat antara kedua-dua pihak,” katanya selepas mengadakan sidang akhbar, hari ini. - DagangNews.com