Kerajaan sokong kebebasan media selagi tidak ada berita palsu, kata Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Kerajaan sokong kebebasan media selagi tidak ada berita palsu, kata Perdana Menteri

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 7 Sept - Kerajaan menyokong kebebasan media asalkan maklumat yang disampaikan kepada rakyat tidak palsu.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini dicerminkan dalam cara pengamal media beroperasi di sini di bawah pentadbiran semasa.

 

Setakat hari ini, beliau berkata tiada kejadian di mana pengamal media digantung lesen atau tindakan diambil terhadap mereka.

 

“Sekarang ini, terdapat banyak maklumat yang tidak tepat atau diputarbelitkan di luar sana, yang boleh mengelirukan rakyat.

 

“Sebab itu penting untuk media arus perdana termasuk penerbitan cetak memberikan maklumat yang tepat.

 

“Kerajaan di bawah pimpinan saya memberikan kebebasan sepenuhnya kepada media dan saya yakin media juga sedar tentang batasan mereka,” katanya.

 

Walaupun terdapat ramai yang beralih kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat berikutan kemajuan teknologi dan perubahan rutin, Ismail Sabri berharap orang ramai juga mengikuti media arus perdana.

 

"Media arus perdana termasuk penerbitan cetak adalah penting kerana ia memberikan maklumat tepat kepada rakyat," kata ahli Parlimen Bera itu.

 

Terdahulu, perdana menteri melawat Media Prima Bhd (MPB) di Sri Pentas di sini, menurut laporan The New Straits Times.

 

Turut hadir pengerusi kumpulan MPB Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, pengarah urusan kumpulan MPB Rafiq Razali, ketua pegawai eksekutif Media Prima Audio (MPA) Nazri Noran, pengarang kumpulan New Straits Times Ahmad Lokman Mansor dan pengarang kumpulan Berita Harian Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

 

Ismail Sabri juga memeriksa stesen radio di bawah MPA sebelum ditemu bual oleh Hot FM dan 8 FM.

 

Syed Hussian berkata MPB berbesar hati menerima kunjungan perdana menteri yang turut diberi taklimat mengenai operasi bilik berita dan stesen radio di Sri Pentas.

 

Tambahnya, MPB juga akan mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada orang ramai.

 

“Kami akan terus membina hubungan baik dengan kerajaan dan memberikan maklumat yang tepat untuk semua,” katanya. - DagangNews.com