Kerajaan tawar insentif bernilai RM100 juta kepada pekebun kecil tanam semula pokok sawit | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tawar insentif bernilai RM100 juta kepada pekebun kecil tanam semula pokok sawit

Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) ketika penyampaian 'mock cheque' Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit bernilai RM100 juta kepada pekebun kecil sawit di ibu pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 23 Januari 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

BANGI 23 Jan - Kerajaan menawarkan sebanyak RM100 juta menerusi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 kepada pengusaha sawit khususnya pekebun kecil di Malaysia. 

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dana yang disediakan adalah terdiri daripada 50% komponen geran dan sebahagian lagi adalah pembiayaan kepada pekebun kecil persendirian.

 

Beliau berkata, skim yang diluluskan sebanyak RM100 juta ini untuk membantu pekebun-pekebun kecil menanam semula pokok-pokok yang dianggap tua.

 

"Ia merupakan peruntukan secara 50% geran dan 50% daripada pinjaman Agrobank yang mana kadar faedahnya 2%.

 

"Semua tahu kita mempunyai pekebun kecil daripada 5.65 juta hektar kita ada 26% pekebun kecil. Anggaran pokok telah tua hampir cecah 74,000 hektar," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di ibu pejabat MPOB di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin; Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zailani Hashim; Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

 

 

JoGhani
Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di ibu pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 23 Januari 2024.

 

 

Terdahulu, skim tersebut disediakan kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Kementerian Perladangan dan Komoditi dengan peruntukan RM100 juta, yang diumumkan sewaktu pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lepas.

 

 

JoGhani

 

 

Sementara itu, Ahmad Parveez pula berkata, nilai pembiayaan adalah RM14,000/hektar untuk pekebun kecil sawit di Semenanjung manakala RM18,000/hektar pekebun kecil sawit untuk Sabah dan Sarawak dalam bentuk kombinasi geran dan pembiayaan.

 

"Penyaluran dana bagi kedua-dua komponen geran dan pembiayaan ini akan disalurkan sepenuhnya oleh pihak Agrobank. 

 

"Bagaimanapun, bayaran balik oleh pemohon hanya melibatkan 50% termasuk 2% faedah daripada jumlah keseluruhan dana yang disalurkan, selain memanfaatkan pekebun kecil sawit persendirian dengan jumlah keluasan 5,900 hektar," katanya.

 

Selain itu katanya, skim tersebut membabitkan penyediaan kawasan tanaman, pembelian anak benih sawit berkualiti dan penyelenggaran kebun sehingga umur sawit tiga tahun (36 bulan) selepas tanam.

 

Katannya, permohonan skim itu dibuka sejak 15 Januari 2024 dan borang boleh diperoleh daripada mana-mana pejabat Tunas/Agrobank berhampiran kawasan pekebun kecil. - DagangNews.com