KUALA LUMPUR 19 Ogos - Malaysia berikrar tiada lagi ladang kelapa sawit baharu di kawasan hutan bagi menyokong kemampanan dan mengekalkan liputan hutan semasanya sebanyak 54%, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kilang sawit tidak dibenarkan untuk menerima buah sawit dari kawasan hutan ditebang.
"Kilang yang menerima buah sawit sebegini tidak dibernarkan untuk mengeksport atau menjual produk mereka.
"Saya percaya kita mempunyai ladang kelapa sawit yang mencukupi.
"Kami mahu mengekalkan liputan hutan kami pada 54% bagi meningkatkan perlindungan biodiversiti termasuk melindungi orang utan," kata beliau semasa acara Hari Orang Utan Sedunia 2024 di Sandakan pada Ahad, lapor Bernama.
Beliau berkata dasar itu telah disampaikan kepada pemain industri melalui pelbagai penglibatan.
Selain itu, Johari turut menekankan keperluan Malaysia memastikan semua eksport minyak sawit memenuhi piawaian kemampanan bagi membuktikan komitmen negara.
Beliau juga berkata Sabah sahaja mempunyai 1.5 juta hektar ladang kelapa sawit namun, industri sawit berdepan dengan kritikan dan propaganda negatif daripada beberapa negara Barat berkaitan dengan kelestariannya, katanya.
"Kerajaan komited menangani tuntutan palsu ini, kami mewajibkan semua pengeluar termasuk ladang dan pekebun kecil mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)," ujarnya.
Dengan lebih 80% pengeluaran minyak sawit Malaysia untuk tujuan eksport, pensijilan adalah penting bagi memastikan kemampanan dan kualiti produk.
Sementara itu, Johari juga menekankan sektor minyak sawit memberi sumbangan ketara kepada ekonomi Malaysia, mewakili 3% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), menjana lebih RM100 bilion hasil eksport dan menyediakan kira-kira satu juta pekerjaan.- DagangNews.com