Kerajaan tidak membelakangkan pekerja tempatan, kata Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tidak membelakangkan pekerja tempatan, kata Perdana Menteri

PUTRAJAYA 1 Mei - Kerajaan tidak akan membelakangkan pekerja tempatan biarpun pembukaan semula sempadan negara memberi ruang kepada pengambilan semula tenaga kerja asing dalam sektor tertentu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, kemasukan semula pekerja asing itu terutama dalam sektor dikategorikan sebagai kotor, berbahaya dan sukar (3D).

 

Beliau berkata, berikutan itu, satu mekanisme komprehensif akan dirangka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing supaya warga tempatan diberi keutamaan terlebih dahulu.

 

"Kementerian Sumber Manusia sudah diminta supaya meneliti dan mengkaji aspek ini agar pekerja tempatan mendapat manfaat dengan menambah baik kadar gaji, pakej pekerjaan dan kemajuan kerjaya," katanya dalam Perutusan Khas Sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen RTM, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga sudah melancarkan portal UPSkills Malaysia untuk pekerja meningkatkan kemahiran.

 

Beliau berkata, portal itu juga menjadi pusat rujukan tunggal yang menghimpunkan maklumat 6,143 penyedia latihan membabitkan 35 bidang kemahiran.

 

Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya sejuta ahli Keluarga Malaysia yang bekerja sendiri bakal mendapat perlindungan insurans bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).


 

PM

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata melalui program itu, kerajaan akan menanggung sebanyak 80 peratus daripada jumlah yang perlu dicarum oleh individu terbabit.

 

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk mewajibkan penyediaan Taska Tempat Kerja di setiap sektor awam Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Badan Berkanun sebelum ia diperluaskan ke sektor swasta.

 

"Kerajaan menyediakan geran tahunan RM10 juta pada 2019 dan RM30 juta sejak 2020 bagi inisiatif ini yang akan memberi kelegaan kepada pekerja yang mempunyai anak kecil," katanya dalam Perutusan Khas Sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen RTM, hari ini.

 

Kedua-dua inisiatif itu adalah sebahagian daripada empat inisiatif yang dipersetujui kerajaan sempena sambutan Hari Pekerja 2022 yang disambut hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju memulakan Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia (MyEzCover.com) mulai hari ini.

 

Katanya, pakej pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan itu tanpa sebarang caj faedah, ditawarkan kepada penjawat awam terlebih dahulu sebelum diperluaskan kepada sektor swasta.

 

 

PM

 

 

"Program ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama PERKESO dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA)," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuatkuasa hari ini juga adalah hadiah kepada golongan pekerja atas dedikasi tanpa jemu dalam membangunkan ekonomi negara.

 

Terdahulu ketika mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga pekerja di negara ini, Perdana Menteri berkata, tema sambutan tahun ini iaitu "Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara" mencerminkan aspirasi kesepaduan, kesepakatan dan jalinan kerjasama Keluarga Malaysia untuk sama-sama berganding bahu memulihkan ekonomi negara ketika pasca COVID-19.

 

Beliau berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan Keluarga Malaysia dapat meneruskan kehidupan termasuk Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP).

 

Katanya, melalui PSU, sebanyak RM20.34 bilion sudah disalurkan bagi membantu lebih 350,000 majikan di seluruh negara, sekali gus membolehkan seramai 2.95 juta pekerja kekal dalam sektor pekerjaan.

 

Malaysia komited menghapuskan amalan buruh paksa di negara ini selaras Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

 

 

PM

 

 

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ratifikasi itu juga adalah tindakan proaktif kerajaan dalam memastikan produk keluaran negara tidak dikenakan sekatan dalam pasaran antarabangsa.

 

"Kerajaan bertegas dalam melindungi hak pekerja tempatan dan asing terutamanya isu berkaitan buruh paksa.

 

"Sehubungan itu, kerajaan sudah meratifikasi Protokol 29 ILO sebagai bukti komitmen kerajaan untuk menghapuskan buruh paksa di negara ini," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, ratifikasi ini satu tindakan proaktif kerajaan dalam memastikan produk dan barangan Malaysia tidak lagi dikenakan sekatan masuk ke pasaran antarabangsa ekoran dakwaan menggunakan buruh paksa dalam pengeluaran barangan negara ini. - DagangNews.com