Kerajaan tumpu B10 sebagai kumpulan sasar  | DagangNews Skip to main content

Kerajaan tumpu B10 sebagai kumpulan sasar 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Kerajaan akan menumpukan pendapatan isi rumah di bawah RM2,500 atau kelompok B10 sebagai kumpulan sasar dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di negara ini.

Dalam masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan juga sedang mengkaji penggunaan konsep desil (decile) untuk mengenal pasti kumpulan sasar khusus mengikut keperluan sebenar kumpulan pendapatan masing-masing. 

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed. - Gambar oleh MalayMail

 

“Kerajaan juga sedang mengkaji penggunaan konsep desil iaitu B1, B2, B3 dan B4 seperti yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Laporan HIES & BA 2019. 

“Perkara ini akan dipertimbangkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) selepas satu kajian lanjut pengkelasan semula kumpulan isi rumah dilaksanakan. 

“Kajian ini akan mengambil kira ciri dan keperluan kumpulan pendapatan. Usaha ini dijangka membantu kerajaan mengenal pasti kumpulan sasar khusus mengikut keperluan sebenar kumpulan pendapatan masing-masing seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Negara hari ini. 

 

Had pendapatan isi rumah

 

Beliau menjawab soalan Senator Liew Chin Tong (DAP) berhubung adakah kerajaan akan mengubah klasifikasi pendapatan di Malaysia daripada B40, M40 dan T20 kepada B20, M60 dan T20 selepas Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional telah meningkat kepada RM2,208 berbanding RM980 pada tahun 2016.

B10 merupakan pecahan kepada kumpulan asas B40 yang sebelum ini mempunyai satu kelompok sahaja.

Tambah Mustapa, bagi meningkatkan inklusiviti dan kesejahteraan rakyat, isi rumah miskin dan berpendapatan rendah daripada kumpulan B40 diberi keutamaan dalam bantuan sosial merangkumi pendidikan, kesihatan, perumahan, keusahawanan dan bantuan sara hidup. 

“Untuk makluman ahli Yang Berhormat, buat masa ini kerajaan masih menggunakan klasifikasi kumpulan pendapatan di Malaysia sedia ada iaitu isi rumah berpendapatan 40% terendah atau B40 (terendah 40%), isi rumah berpendapatan 40% menengah atau M40 (pertengahan 40%) dan isi rumah berpendapatan 20 % tertinggi atau T20 (tertinggi 20%). 

“Pengkelasan kumpulan isi rumah adalah mengikut amalan antarabangsa termasuk Bank Dunia,” jelas beliau. - DagangNews.com