Kerajaan yakin kadar inflasi, KDNK 2024 kekal seperti diunjurkan di sebalik penyasaran subsidi diesel- Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Kerajaan yakin kadar inflasi, KDNK 2024 kekal seperti diunjurkan di sebalik penyasaran subsidi diesel- Amir Hamzah

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Jun - Kerajaan yakin kadar inflasi 2024 akan kekal di antara 2% hingga 3.5% manakala pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 4% hingga 5% seperti diunjurkan sebelum ni di sebalik pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

 

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan penyasaran semula subsidi diesel dengan menyediakan diesel bersubsidi kepada sektor logistik dan bantuan tunai bulanan kepada individu akan mengurangkan tekanan ke atas harga barang pengguna dan impak kepada rakyat.

 

"Dengan itu, walaupun terdapat perubahan harga runcit diesel yang ketara, namun dijangka tidak akan menjejaskan prestasi ekonomi atau menjejaskan kadar inflasi.

 

amir
AMIR HAMZAH AZIZAN

 

"Kerajaan yakin dengan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, ekonomi negara masih tetap mencapai unjuran rasmi Kerajaan terhadap kadar inflasi 2024 iaitu antara 2% hingga 3.5% serta kadar pertumbuhan KDNK 2024 antara 4% hingga 5%," katanya.

 

Amir Hamzah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penerangan Menteri berhubung isu penyasaran subsidi diesel pada sesi Sidang Dewan Rakyat hari ini.

 

 

Beliau berkata, susulan keputusan untuk menyasarkan subsidi diesel mulai 10 Jun lalu, KPDN juga telah menggerakkan OPS KESAN 2.0 seawal 2 Mei 2024 bagi memantau impak pelaksanaan serta memastikan tiada elemen pencatutan berlaku selaras dengan undang-udang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

 

"Setakat 20 Jun 2024, sebanyak 2,100 premis telah diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 210 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara. 

 

"Sehingga kini sebanyak 7 kes telah dikenal pasti hasil pelaksanaan OPS KESAN 2.0. Analisis pencatutan akan disediakan bagi tujuan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen mencatut terhadap notis-notis," jelasnya.

 

Sementara itu, katanya, impak pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel adalah amat memberangsangkan dan berlangsung seperti mana dirancangkan.

 

Menurutnya, jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak telah menurun hampir 8 juta liter sehari atau 30% untuk minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga diesel berbanding minggu sebelum pengumuman.

 

Beliau berkata, bagi tempoh yang sama, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak 4 juta liter sehari yang memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini telah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran. 

 

Katanya, ini bermakna, trend peningkatan jualan diesel komersial menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi telah berkurang.

 

diesel

 

"Antara maklumat yang diterima daripada salah satu syarikat minyak, jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan 40%. 

 

"Ini mengesahkan bahawa sebelum ini memang wujud aktiviti penyeludupan diesel ke negara sempadan kita," katanya.

 

Menurut Amir Hamzah, pengurangan jualan di stesen minyak sempadan itu jelas menunjukkan yang sebelum ini ia telah mengalir ke negara jiran.

 

"Kita tak nak subsidikan orang Thailand. Buat apa kita subsidi orang Thailand. Kenapa kita nak menyokong penyeludupan yang berleluasa sekarang," jelasnya.

 

Amir Hamzah dalam penerangan itu mengajak seluruh Ahli Parlimen untuk tidak melihat isu ini dari sudut politik sebaliknya apa yang dilakukan ini adalah usaha bagi mengelakkan wang negara daripada tiris kepada pihak tidak sepatutnya.

 

subsidi

 

Selain itu, Amir Hamzah sekali lagi menekankan apa yang dilakukan kerajaan ialah penyasaran subsidi bagi mengelakkan subsidi dinikmati oleh mereka yang tidak layak. 

 

Katanya, kerajaan masih membelanjakan subsidi diesel RM10 bilion dengan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) telah diperluaskan selain bantuan tunai langsung menerusi BUDI Madani.

 

"Kenderaan pengangkutan awam darat dan nelayan terus menikmati diesel bersubsidi masing-masing pada harga RM1.88 dan RM1.65 seliter.

 

"Bagi kategori logistik baharu yang diperkenalkan, sebanyak 223,000 kenderaan pengangkutan awam arat telah buat permohonan dan telah menikmati diesel pada harga RM2.15 seliter," ujarnya.

 

Mengulas celahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) berhubung penyeludupan barangan bersubsidi di sempadan, Amir Hamzah berkata, apabila harga dinaikkan sedikit, ia dapat mengurangkan daya tarikan untuk penyeludupan.

 

"Dari segi pemantauan pula, kita tingkatkan. Lagi kerap kita lakukan lagi baik," jelasnya. - DagangNews.com