Kereta mewah Porsche dipasang di Kulim, Kedah pertama di luar Eropah | DagangNews Skip to main content

Kereta mewah Porsche dipasang di Kulim, Kedah pertama di luar Eropah

Kilang pemasangan Porsche ini juga adalah sejajar dengan Dasar Automotif Negara (NAP) 2020.

KULIM 28 Mac - Kilang pemasangan pertama luar Eropah model kereta sport Porsche di Kulim, Kedah berupaya merangsang pertumbuhan perniagaan, selain merancakkan industri automotif tempatan sekali gus merealisasikan hasrat negara menjadi hab automotif serantau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, ia juga bukan saja akan menyokong pertumbuhan perniagaan kumpulan merentasi rantaian nilai automotif di Malaysia tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

 

Beliau berkata, kerjasama antara Sime Darby dan Porsche AG bagi kilang pemasangan itu juga membuktikan kepercayaan berterusan Porsche terhadap kumpulan dan Malaysia.

 

"Kemudahan Porsche itu juga akan dikendalikan oleh pasukan tempatan berkemahiran tinggi sepenuhnya yang telah mendapat latihan menyeluruh daripada Porsche.

 

"Ia juga akan disokong oleh rangkaian pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan di sekitar Kedah, memperkasakan masa depan masyarakat setempat dengan peluang pekerjaan, prospek peningkatan kemahiran dan potensi untuk pengembangan selanjutnya.

 

"Ini adalah bukti perkongsian yang telah lama terjalin dan dipercayai yang dibina selama lebih sedekad antara Sime Darby dan Porsche," katanya selepas majlis perasmian Kilang Pemasangan Pertama Porsche di Kulim, Kedah.


 

porsche

Majlis dirasmikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, lapor Berita Harian.

 

Kilang pemasangan Porsche ini juga adalah sejajar dengan Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, yang bertujuan memajukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan automotif, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mapan.

 

Sime Darby dan Porsche memilih Malaysia untuk kemudahan pemasangan pertamanya di luar Eropah, menandakan keyakinan syarikat terhadap ekosistem dan kekuatan Malaysia yang kondusif untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang mereka.

 

Kemudahan pertama pengeluar kereta sport global itu di Kulim ini juga mengiktiraf keupayaan bakat tempatan dan berpotensi membawa mereka memperluaskan jejak di rantau ASEAN.


 

porsche

 


Kerajaan turut memandang industri automotif sebagai sektor ekonomi yang strategik berdasarkan kerancakan pembangunan rantaian bekalan global serta pengukuhan ekonomi negara. - DagangNews.com