KUALA LUMPUR 21 Sept - Kerjasama dengan ExxonMobil dilihat sebagai langkah penting kepada Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) ke arah peralihan ekonomi kitaran dalam industri petrokimia bagi kitar semula plastik dalam tempoh jangka panjang.
MIDF Research berkata, PCG terus meneroka dan melaksanakan teknologi inovatif untuk membangunkan penyelesaian mampan bagi permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggannya.
Katanya, selain pengurusan sisa dan kitar semula termaju, kumpulan juga telah memulakan penyelesaian untuk bahan kimia hijau dan khusus bagi produk petrokimia yang lebih mampan pada masa hadapan.
"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan positif terhadap PCG berikutan usaha berterusannya untuk memenuhi agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui kerjasama yang bernilai dan efisien, di samping terus menjadi tumpuan penting bagi industri petrokimia yang lebih hijau," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, PCG dan ExxonMobil menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menilai potensi pelaksanaan teknologi kitar semula plastik termaju berskala besar bagi membantu mewujudkan ekonomi kitaran untuk plastik di Malaysia.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan menilai peluang untuk menyokong penambahbaikan dalam kutipan dan pengasingan sisa plastik di negara ini.
ExxonMobil adalah ahli pengasas Alliance to End Plastic Waste, yang memberi tumpuan kepada memacu pelaburan dalam penyelesaian yang selamat, berskala dan ekonomi berdaya maju di seluruh dunia untuk membantu menangani masalah sisa plastik.
Syarikat itu merancang untuk membina kira-kira 500,000 tan kapasiti kitar semula termaju di kemudahan pembuatan bersepadunya di seluruh dunia pada akhir 2026.
MIDF Research berkata, pengurusan sisa plastik adalah penting untuk mencapai ekonomi kitaran yang memberi fokus kepada industri petrokimia dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk kitar semula.
Katanya, kitar semula termaju kebiasaannya melibatkan pirolisis dan pengegasan, yang boleh meningkatkan proses kitar semula plastik dan mengurangkan pelupusan dan/atau pembakaran sisa dengan ketara.
"Walaupun operasi kitar semula selalunya memberi hasil yang kurang menguntungkan tetapi, proses tersebut telah dikawal selia dan terbukti mempunyai kelebihan untuk mengurangkan sisa plastik dalam alam sekitar," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap PCG dengan harga sasaran tidak berubah pada RM11.93 sesaham.
Setakat 10.19 pagi ini, harga sahamnya susut 10 sen atau 1.15% kepada RM8.60 dengan 568,100 saham diniagakan. - DagangNews.com