Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Dis - Kerjasama dengan Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) dilihat akan mengukuhkan portfolio Petronas Dagangan Bhd. (PDB) dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Semalam, PDB memeterai perjanjian induk (HOA) dengan Petros bagi menandakan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam perniagaan LPG di Sarawak.
Kerjasama itu membabitkan pelupusan perniagaan LPG PDB di Sarawak kepada PetrosNiaga Sdn. Bhd. (PNiaga), anak syarikat milik penuh Petros dan langganan saham dalam PNiaga oleh PDB.
Sehubungan ini, Gas Petronas secara berperingkat beralih kepada silinder isian gas LPG Petros, memenuhi aspirasi kerajaan Sarawak untuk liputan LPG Petros ke seluruh negeri serta merealisasikan hasrat Ordinan Pengagihan Gas 2016 negeri.
Baca : PDB, Petros tandatangani perjanjian induk bagi perniagaan LPG di Sarawak
Dalam nota kajian hari ini, MIDF Research berkata, kerjasama tersebut akan membuka jalan bagi Pelan Hala Tuju Gas Sarawak untuk tempoh 10 tahun yang merupakan sebahagian daripada Wawasan Sarawak 2030 yang menyasarkan untuk merealisasikan sepenuhnya potensi sumber gas di negeri tersebut.
"Oleh itu, kerjasama ini akan memberi kelebihan kepada PDB bagi tempoh sekurang-kurangnya hingga 10 tahun hingga pelan itu tercapai.
"Kami melihat kerjasama ini juga adalah munasabah dan sudah tentu yang terbaik demi kepentingan PDB," jelasnya.
Ini membolehkan firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM20.25 sesaham.
Ia terus menilai PDB secara positif berdasarkan kepada peluang kerjasama di peringkat tempatan dan antarabangsa meskipun di tengah-tengah persekitaran pandemik COVID-19.
"Selain itu, prospek kumpulan turut dipengaruhi oleh permintaan LPG yang semakin meningkat dan usaha berterusan meneroka pasaran baharu," katanya. - DagangNews.com