Kerjasama KWSP, Foodpanda bantu pekerja gig buat caruman di bawah program i-Saraan | DagangNews Skip to main content

Kerjasama KWSP, Foodpanda bantu pekerja gig buat caruman di bawah program i-Saraan

(Dari kiri) Naib Presiden Kanan dan Ketua Bahagian Transformasi Digital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Fadzli Abdul Wahit, Ketua Pegawai Operasi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sazaliza Zainuddin dan Pengarah Operasi Foodpanda Malaysia, Shubham Saran, di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Foodpanda, yang diadakan pada 2 Julai 2024 di Menara KWSP, Kwasa Damansara.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Foodpanda Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha memberi jaminan kewangan dan manfaat kepada lebih 50,000 pekerja gig syarikat penghantaran makanan itu.

 

MoU ini membolehkan rakan penghantar Foodpanda untuk mencarum setiap bulan ke akaun KWSP mereka melalui program i-Saraan dan dengan ini, rakan penghantar dapat memastikan masa depan yang lebih terjamin. 

 

Program i-Saraan ini merupakan sebuah program simpanan secara sukarela.

 

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin dan Pengarah Operasi Foodpanda Malaysia, Shubham Saran dengan matlamat utama untuk meningkatkan perancangan dan simpanan persaraan dalam kalangan rakan penghantar.

 

Kerjasama antara Foodpanda dan KWSP adalah untuk mendidik penghantar mengenai kepentingan dan kemudahan menyimpan untuk persaraan mereka melalui KWSP melalui ceramah perancangan khas yang dianjurkan oleh kedua-dua pihak.

 

Sementara itu, kedua-dua pihak akan menyediakan kaunter pendaftaran di acara rakan penghantar termasuk pertukaran beg di seluruh negara.

 

Rakan penghantar juga boleh memilih untuk sumbangan automatik kepada akaun KWSP mereka.

 

Menurut kenyataan media, Saran berharap agar perkongsian KWSP akan memberi lebih banyak faedah kepada rakan penghantar pada masa hadapan dan menggalakkan semua rakan penghantar untuk mendaftar dan mula proses penjimatan secepat mungkin.

 

Kata beliau, “Rakan penghantar memainkan peranan yang penting dalam ekosistem kami. Sebagai sebahagian daripada inisiatif panda hearts, kami terus membaiki apa yang kami lakukan untuk meningkatkan pengalaman penghantaran. 

 

“Kami berhasrat untuk menyediakan sumber dan sokongan yang mereka perlukan untuk berjaya dalam peranan mereka,” tambah beliau.- DagangNews.com