Kerjasama Maxis, TD1303 bantu mendigitalkan lebih ramai usahawan di Terengganu | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Maxis, TD1303 bantu mendigitalkan lebih ramai usahawan di Terengganu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jun - Maxis menjalinkan kerjasama dengan agensi di bawah Kerajaan Terengganu, TD1303 bagi membantu mendigitalkan lebih ramai usahawan di negeri itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, menerusi kerjasama itu, Maxis akan menawarkan produk dan perkhidmatannya, termasuk penyelesaian perniagaan yang komprehensif di TD1303 termasuk ruang kerja sehenti untuk pemula, usahawan muda, e-dagang dan syarikat berkaitan Industri 4.0 dalam negeri. 

 

“Kami memuji usaha Kerajaan Terengganu dalam mempromosikan inisiatif Industri 4.0 bagi perniagaan. 

 

"Kami juga menghargai peluang untuk bekerjasama dengan TD1303 dan menyokong mereka dengan keupayaan dan penyelesaian digital kami untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka supaya mereka terus menerajui dalam dunia yang semakin berubah. 

 

"Kami percaya dengan potensi dan bakat usahawan  di Terengganu dan berharap untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan digital mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebagai Penyedia Penyelesaian Teknologi untuk Geran Pendigitalan PKS MDEC, Maxis membolehkan PKS yang memohon Geran melalui mereka untuk memilih daripada rangkaian salinghubungan yang luas dan penyelesaian digital, termasuk pemasaran digital, Cloud Point-of-Sales, kerja jarak jauh dan e-Dagang.

 

Sempena pelancaran rakan strategik itu, Maxis juga telah mengadakan bengkel digital pertamanya di Terengganu dengan penyertaan lebih daripada 100 usahawan tempatan melalui eKelas Usahawan yang merangkumi kelas pemasaran digital, fotografi digital, penulisan dan perancangan untuk kempen pemasaran serta pengiklanan melalui platform dalam talian dan sosial.
 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu dan Pengerusi TD1303, Ariffin Deraman berkata, objektif TD1303 adalah untuk menjadi pusat sehenti terkemuka bagi usahawan di Terengganu.

 

"Pusat sehenti itu bukan sahaja menawarkan ruang kerja bersama, tetapi penyelesaian IT, perkakasan dan perisian yang berdaya maju untuk perniagaan mereka.

 

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Maxis dan berharap untuk menggunakan produk dan penyelesaian mereka untuk memacu lebih ramai usahawan teknologi di Terengganu," katanya. - DagangNews.com