Kerjasama MEDAC, KPPK mampu suburkan industri getah - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Kerjasama MEDAC, KPPK mampu suburkan industri getah - Zuraida

Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Zazali Haron dan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr. Zairossani Mohd. Nor bertukar memorandum sambil disaksikan Noh Omar dan Zuraida pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Persefahaman Kolaborasi Strategik Pembangunan Industri Berasaskan Getah Melalui Gerakan Koperasi, hari ini.

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Gerakan koperasi disarankan untuk lebih berani keluar dari kepompong keselesaan dengan menceburi bidang baharu terutama bidang pembuatan bagi meningkatkan perolehan pendapatan negara. 

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Kementerian Perusahanaan Perladangan dan Komoditi melihat sektor koperasi sebagai wadah berkesan dalam mencapai objektif dalam menyuburkan kembali industri getah.

Selain bertujuan membela nasib pekebun, pekerja, komuniti, belia, B40 dan sebagainya. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, sehingga Disember lalu terdapat 14,629 koperasi sudah didaftarkan menjadikan kekuaran ahli sebanyak 6.5 juta dan menghasilkan perolehan sebanyak RM41.46 bilion. 

Katanya, daripada jumlah itu terdapat 63 koperasi dan terlibat dalam program-program di bawah Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi meningkatkan hasil pendapatan koperasi dan 19 koperasi yang berpotensi tinggi dikenalpasti. 

“Berdasarkan laporan Malaysia Rubber Council, pengeluaran getah dunia bagi separuh pertama 2021 meningkat sebanyak 12.2% kepada 14.1 juta tan berbanding 12.6 juta tan dalam tempoh yang sama pada 2020.

“Malaysia menyumbang 4.3% daripada 13.8 juta tan getah asli yang dihasilkan oleh negara pengeluar.

“Program ini membuktikan bahawa penglibatan koperasi dalam komoditi getah adalah sangat relevan dan memberikan impak terutamanya dari perspektif ekonomi kepada masyarakat,” katanya dalam Majlis Pemeterian Perjanjian Persefahaman Kolaborasi Strategik Pembangunan Industri Berasaskan Getah Melalui Gerakan Koperasi, hari ini. 

Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin. 

Kolaborasi strategik itu turut mendapat kerjasama daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan LGM.

Sementara itu, Noh berkata, bidang keusahawanan dilihat antara instrumen penting dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan produktiviti negara. 

Katanya, pengagihan pendapatan lebih saksama akan meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan rakyat, seterusnya membawa kebaikan sosial kepada masyarakat.

“Pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif boleh direalisasikan melalui pembudayaan keusahawanan yang inovatif dan kreatif serta melalui ekonomi baharu dan digital dalam kalangan usahawan serta koperasi sendiri.

“Usaha ini dapat menyemarakkan lagi pembangunan usahawan dan koperasi yang terlibat khususnya dalam industri getah. 

“Selain itu, ia turut mewujudkan sinergi kerjasama dan keusahawanan lebih kukuh antara agensi sekaligus meningkatkan sosioekonomi dan taraf hidup bagi golongan sasar yang terlibat,” katanya. 

Katanya, Inisiatif Kolaborasi Strategik yang itu menyaksikan pemerteraiannya menerusi mengenalpasti koperasi yang berpotensi untuk dilibatkan dalam program kolaborasi strategik terbabit. 

“Program disediakan juga menyediakan khidmat nasihat dan sokongan kepada koperasi yang terlibat dalam kolaborasi strategik. 

“Selain itu, dapat melaksanakan penyeliaan dan pemantauan ke atas tadbir urus koperasi yang terlibat dalam kolaborasi strategik ini termasuk mendapatkan maklumat melalui laporan prestasi perniagaan dan banyak lagi,” katanya. 

Sementara itu, Zuraida berkata, kerjasama strategik itu mampu merangsang pembangunan industri getah oleh pekebun kecil secara koperasi yang lebih kompetitif, berdaya tahan, progresif serta menyumbang kepada pembangunan negara.

“Pembangunan industri getah melalui gerakan koperasi mampu menggalak serta meluaskan penglibatan pekebun kecil dalam rantaian serta aktiviti nilai getah.

“Secara tidak langsung, gerakan koperasi akan membantu pekebun kecil mendapat pulangan yang baik dan akan membimbing pekebun kecil menjadi usahawan yang berjaya,” katanya.-DagangNews.com