Kerjasama pertahanan Malaysia-Turkiye bantu majukan industri tempatan (ANALISIS) | DagangNews Skip to main content

Kerjasama pertahanan Malaysia-Turkiye bantu majukan industri tempatan (ANALISIS)

DEFTECH dan syarikat FNSS mengintai peluang untuk membekalkan kenderaan perisai Pars 6x6 dan 4x4 untuk Tentera Darat.
oleh ZAKI SALLEH

KERJASAMA industri pertahanan Malaysia-Turkiye terjalin lebih 22 tahun lalu menerusi perolehan kenderaan tempur ACV-300 Adnan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh syarikat negara itu, FNSS Savunma Sistemleri (FNSS Defence System).

 

FNSS telah bekerjasama dengan firma pertahanan terkemuka negara, DRB Defence Technology Sdn. Bhd. (DEFTECH) untuk menguji dan memasang kenderaan tersebut di kilang DEFTECH di Pekan, Pahang.

 

Perolehan sebanyak 211 buah kenderaan perisai ini bagi melengkapi batalion mekanise Tentera Darat dengan nilai kontrak kepada DEFTECH bernilai RM1.1 bilion.

 

Sebanyak 146 buah Adnan dibuat di Turkiye manakala pemasangan baki 65 buah lagi dilakukan sepenuhnya di Pekan.


 

ACV-300 Adnan

 


Kontrak perolehan juga melibatkan pemindahan teknologi FNSS kepada industri pertahanan tempatan manakala pembinaan kenderaan ini turut melibatkan penggunaan komponen buatan negara.

 

Bagi melengkapi perolehan tersebut, DEFTECH telah melabur kira-kira RM10 juta untuk membina fasiliti ujian dan trek pemanduan kenderaan perisai mengikut spesifikasi NATO yang juga merupakan pertama seumpamanya di rantau ini.

 

Fasiliti di kilang DEFTECH ini meliputi kemudahan pemasangan dan ujian yang dibina khusus untuk pembinaan sama ada kereta kebal, kenderaan perisai dan lain-lain jenis kenderaan ketenteraan.

 

Perolehan ACV Adnan membuka ruang pada kemajuan industri pertahanan tempatan apabila diberi kepercayaan mengeluarkan kenderaan perisai dalam negara.


 

adnan
Perolehan kenderaan perisai ACV Adnan pada tahun 2000 membuka lembaran kerjasama industri pertahanan Malaysia-Turkiye.

 


Sejak 20 tahun lalu, Turkiye juga menjadi antara peserta terbesar yang hadir pada dua pameran pertahanan di sini iaitu Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA).

 

Kerjasama industri pertahanan Malaysia-Turkiye terus diperkukuhkan apabila pada Februari 2011, DEFTECH dianugerahkan kontrak bagi membina 257 buah kenderaan perisai AV8 Gempita.

 

Firma Turkiye, FNSS telah menandatangani surat terima bagi membangunkan model AV8 dengan nilai kontrak sebanyak AS$559 juta. FNSS juga menawarkan pemindahan teknologi dan bantuan teknikal sepanjang program tersebut.

 

AV8 dibina berasaskan kenderaan 8x8 FNSS PARS buatan Turkiye. Kenderaan pertama berjumlah 12 buah AV8 Gempita diterima Tentera Darat pada Disember 2014 manakala bakinya secara berperingkat-peringkat sehingga 2020.

 

Pembinaan kenderaan perisai ini memberi lonjakan kemahiran pada warga kerja DEFTECH apabila buat pertama kali membina sebuah kenderaan tempur berteknologi tinggi.

 

DEFTECH juga cuba meneroka peluang untuk memasarkan kenderaan tersebut apabila pada Ogos 2018, sebuah unit AV8 dihantar ke Arab Saudi bagi tujuan uji nilai.

 

Syarikat Turkiye, Nurol Makina juga memuktamadkan kerjasama dengan syarikat tempatan, Nadi Corp bagi membekalkan 20 buah kenderaan perisai Ejder Yalcin 4X4 untuk pasukan tentera pengaman Malaysia di Lebanon.

 

Nadi Corp menerusi salah sebuah anak syarikatnya diberi kontrak bernilai RM190 juta pada Oktober 2020.


 

turkiye
Turkiye menjadi antara peserta terbesar yang hadir pada dua pameran pertahanan di sini iaitu Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA).

 


Sejak beberapa tahun lalu, industri pertahanan Turkiye dilihat pantas berkembang dengan tiga buah syarikatnya tersenarai antara 100 syarikat pertahanan dan aeroangkasa terbesar dunia oleh laman web pertahanan, Defense News.

 

Firma pertahanan terbesar negara itu, Aselsan berada pada kedudukan ke-49, diikuti Turkish Aerospace Industries (67) dan Roketsan (86).

 

Pada tahun 2002, nilai jualan industri pertahanan dan aeroangkasa Turkiye sebanyak AS$1 bilion manakala nilai eksport AS$248 juta.

 

Bagaimana pun, pada 2021 ia melonjak pada angka AS$10.1 bilion dengan nilai eksport mencecah AS$3.2 bilion.

 

Pada tahun sama juga syarikat-syarikat pertahanan Turkiye berjaya mendapatkan kontrak jualan antarabangsa dengan nilai sebanyak AS$8.5 bilion. 

 

Jumlah tenaga kerja dalam industri ini pula melibatkan seramai 75,000 manakala untuk bidang penyelidikan dan pembangunan pula, industri pertahanan Turkiye membelanjakan kira-kira AS$1.6 bilion.

 

Syarikat pertahanan Turkiye telah menjadi pemain global menerusi sistem dan produk tempur mereka selain terbuka bekerjasama dengan negara-negara lain untuk menjalin hubungan jangka masa panjang.

 

Sebab itu, kunjungan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye pada Julai lalu dilihat membuka peluang untuk negara meneroka kerjasama seterusnya memacu industri pertahanan negara.

 

Hasrat tersebut telah disuarakan Perdana Menteri sendiri semasa pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden semasa lawatan tersebut.

 

Katanya, Malaysia berhasrat membangunkan industri pertahanan menerusi kerjasama dengan Turki, yang mempunyai kepakaran teknologi tersendiri di dalam industri itu.


 

PM
Kunjungan Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye pada Julai lalu membuka peluang untuk negara meneroka kerjasama dalam industri pertahanan.

 


Terbaru, sistem artileri mudah gerak buatan Turkiye, MKE Yavuz 155mm 52 kaliber SP bakal dipilih sebagai aset Angkatan Tentera Malaysia.

 

Sebanyak 18 unit meriam akan dibekalkan pada Rejimen Artileri Diraja yang telah lama merancang untuk memperolehi aset sedemikian untuk meningkatkan kuasa tempurnya.

 

Dalam pada itu, DEFTECH bersama rakan industrinya, FNSS telah memeterai kerjasama untuk reka bentuk, pembangunan, fabrikasi, pembuatan, lokalisasi, pemasangan dan pembekalan kenderaan berperisai keluarga PARS FNSS kepada kerajaan Malaysia.

 

Ia bagi membekalkan kenderaan perisai Pars 6x6 dan Pars 4x4 untuk program penggantian lebih 300 buah kenderaan perisai Sibmas dan APC Condor yang dioperasikan Tentera Darat sejak 40 tahun lalu.


 

Pars 6x6
Pars 6x6

 


DEFTECH berkemungkinan besar berpeluang memenangi kontrak ini sekiranya melihat pada kejayaan dua progam terdahulu iaitu ACV Adnan dan AV8 Gempita.

 

Perolehan ini nanti bukan sahaja menunjukkan keyakinan pada kemampuan teknologi ketenteraan Turkiye, tetapi mewujudkan kitaran ekonomi dalam rantaian industri pertahanan tempatan sendiri. - DagangNews.com